Isnin, 7 Mei 2018 | 2:17pm
A AIDA sanggup berhabis demi filem sulung terbitannya. Foto Salhani Ibrahim

Hanya 3 hari siapkan skrip

KUALA LUMPUR: Disebabkan terlalu teruja dengan penerbitan filem sulungnya, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda, Datuk A Aida berkata, dia hanya mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan keseluruhan skrip produksi itu.

Aida berkata, dia tidak memerlukan masa yang lama kerana sudah dapat membayangkan apa yang diinginkan untuk filem itu.

Demi produksi pertama terbitan A Aida Production itu juga, dia sanggup membuat pelaburan besar dengan menampilkan 36 pelakon, termasuk melamar penyanyi popular Indonesia, Firman.

Aida berkata, filem itu turut disasarkan untuk pasaran luar, membuatkan dia tidak kisah berhabis demi memastikan ia mencetuskan fenomena.

"Ini adalah filem pertama saya. Sudah tentu, saya teliti dari setiap aspek bermula pemilihan kru, barisan pelakon termasuk pengarah, Bade Azmi.

"Saya mahukan yang terbaik kerana filem ini bukan hanya untuk tayangan tempatan, sebaliknya diharap dapat menembusi pasaran luar," katanya.

Memperuntukkan RM3 juta, Aida berkata, dia yakin filem itu akan menjadi bualan ramai berdasarkan sambutan awal terhadap drama yang mempunyai jalan cerita hampir sama pernah diterbitkannya, Cik Siti lakonan Izara Aishah.

"Kos asal filem ini pada asalnya mencecah RM6 juta kerana banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI). Namun, bimbang pula jika nanti di layar tidak nampak asli, jadi saya cuba kurangkan penggunaan CGI.

"Untuk babak kala jengking sahaja, kos penggunaan mencecah RM1 juta. Biarpun kos dikurangkan, saya cuba manfaatkan peruntukan sebaik mungkin supaya hasilnya nanti berbaloi," katanya.

Ratu Kala Jengking menampilkan Nadia Brian sebagai watak utama, selain Amar Asyraf, Firman, Mas Khan, Eyra Hazali, Dayana Areeda, Fauziah Nawi, Aprena Menrose, Raja Azmi dan Datuk Fizz Fairuz.

Penggambaran filem itu bermula sejak 1 Mei lalu di Kota Tinggi, Johor selama 35 hari dan dijangka akan berada di pawagam pada awal tahun depan.

Ratu Kala Jengking mengisahkan seorang wanita yang berhadapan dengan sumpahan ilmu hitam apabila setiap lelaki yang mengahwininya pasti akan meninggal dunia keesokan hari.

Berita Harian X