Isnin, 7 Mei 2018 | 10:07am
PENYANYI, Sasha Saidin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sasha jual semula album 11 tahun dulu

KUALA LUMPUR: Yakin karya dalam album Kerana Cinta yang dihasilkan kira-kira 11 tahun lalu masih relevan, Sasha Saidin mengambil langkah berani memasarkannya semula secara digital.

Bekas anggota kumpulan Elite itu percaya lagu dihasilkan komposer hebat seperti DJ Uno, Amir dan Zain Ruffedge serta Tukang Kata dari Ahli Fikir dalam album terbabit mampu mengumpan pendengar sekarang.

"Selain komposer terbabit, ada juga lagu yang dicipta karyawan Indonesia," katanya kepada BH Online.

Bercerita mengenai sejarah pembikinan album berkenaan pada 2007, Sasha berkata, ia bermula sebagai projek kecil.

"Ketika mula dilancarkan dalam format cakera padat, saya anggap ia sebagai projek kecil. Pada mulanya, hanya beberapa single yang hendak dipromosikan. Namun, akhirnya ia menjadi album penuh," katanya.

Sasha berkata, selain faktor masa yang dianggap kurang sesuai, jualan fizikal album terbabit tidak memberangsangkan berikutan masalah cetak rompak.

"Saya pula ketika itu berkahwin dan menetap di Indonesia lantas menyukarkan usaha mempromosikannya," katanya.

Sasha memberitahu, hasil perbincangan dengan penerbit, pencipta lagu dan teman-teman, album Kerana Cinta dilancarkan semula dengan pendekatan baharu iaitu dijual secara penstriman.

"Ramai juga yang suka dengan lagu Jatuh Cinta... Jadi peminat sekarang boleh memuat naik album ini melalui platform penstriman terpilih," katanya.

Sasha berkata, album berkenaan mengandungi 10 lagu dengan lirik untuk lima lagu dihasilkannya sendiri.

"Video muzik lagu Jatuh Cinta juga boleh ditonton di YouTube. Begitu juga dengan nada dering lagu itu," katanya yang juga kakak kepada Zain Saidin.

Sasha mendirikan rumah tangga dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang berasal dari Indonesia pada 2007, tetapi berpisah talak satu pada 10 Julai 2012.

Terdahulu, Sasha bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun berpisah empat tahun kemudian.

Berita Harian X