Sabtu, 28 April 2018 | 11:29am
PENYANYI terkemuka Indonesia, Anggun C Sasmi, berduet dengan Fazura menerusi lagu The Good Is Back. - Foto: Rohanis Shukri
PELAKON dan penyanyi, Fazura, ketika hadir pada majlis pertunjukan fesyen raya Rizman Ruzaini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur. - Foto: Rosela Ismail

Fazura terima kritikan duet dengan Anggun

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, bersikap terbuka terhadap komen negatif yang mengkritik nyanyiannya menerusi lagu, The Good Is Back, hasil paduan suara beliau bersama artis terkenal antarabangsa, Anggun.

Sambil menyifatkan kritikan sedemikian sebagai asam garam dalam dunia hiburan, Fazura, 34, bukan sekadar tidak berkecil hati, malah mengambilnya dari sudut positif untuk terus melakar kejayaan.

"Saya terima semua kritikan itu dengan hati yang terbuka. Biasalah, kita perlu berdepan dengan semua cabaran seperti itu untuk berjaya.

"Diakui, lagu itu paling sukar untuk saya nyanyikan, ditambah dengan vokal Anggun yang sangat hebat.

"Apabila dia memilih saya untuk menjadi rakan duet, saya sahut cabaran itu dengan memberikan yang terbaik mengikut kemampuan diri," katanya kepada BH Online ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Raya 2018 di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Bintang filem J Revolusi itu berkata demikian ketika mengulas kritikan pedas ditinggalkan sesetengah netizen pada video lagu berkenaan di laman YouTube.

Mereka berpendapat, lagu versi penyanyi Indonesia yang mencipta nama di Perancis itu bersama Datuk Rossa lebih sedap didengar. Malah, ada juga yang mempersoalkan, mengapa Anggun tidak memilih penyanyi popular lain sebagai rakan duet?

Mengulas komen netizen yang cuba membandingkan nyanyiannya dengan Rossa, Fazura berkata, perkara itu bagaikan satu kemestian bagi sesebuah lagu yang sama tetapi dinyanyikan oleh dua individu berbeza.

"Saya tak kisah pun jika ada yang membandingkan nyanyian kami kerana pada saya, setiap penyanyi mempunyai cara nyanyian berbeza dan saya menyampaikannya mengikut cara sendiri," ujar penyanyi yang popular dengan lagu Bisa Apa dan Cinta Langka ini.

Sehingga malam tadi, video The Good Is Back nyanyian Anggun bersama Fazura meraih lebih 146,000 tontonan di YouTube, iaitu jumlah paling tinggi daripada tiga versi lagu terbabit.

116 dibaca
Berita Harian X