Sabtu, 21 April 2018 | 3:56pm
ABAM susut 11 kilogram selepas menjalani program kecergasan intensif yang dipantau jurulatih peribadi. - Foto Ihsan Abam

Abam susut 11 kilogram

KUALA LUMPUR: Selepas dua minggu mengikuti pelan diet dan senaman dalam talian sambil dipantau jurulatih kecergasan, Abam Bocey berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram.

Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan memberitahu, tiada siapa yang mendesaknya mengurangkan berat badan, sebaliknya keinginan itu datang sendiri.

Sebelum ini, berat badan Abam 188 kilogram dan susut kepada 177 kilogram.

"Tuntutan kerja lakonan mendorong saya untuk menurunkan berat badan. Saya tak boleh cepat mengah kerana kerjaya ini memerlukan pergerakan yang aktif.

"Saya mahu jadi pelakon serba boleh dan tidak terbatas dengan watak tertentu saja... Kalau boleh saya nak jadi pelakon aksi. Mungkin keinginan itu dilihat mustahil, tapi saya sentiasa percaya kepada keajaiban," katanya kepada BH Online.

Abam berkata, dia bersemangat dengan pelan diet dan senaman yang diperkenalkan kerana dikendalikan secara berkumpulan seramai 40 orang.

"Memang pernah berputus asa hendak kurangkan berat badan. Tapi apabila berada dalam pasukan yang selalu berhubung di aplikasi WhatsApp dan media sosial, kita jadi bersemangat. Mood datang setiap hari dan mahu bersaing sesama kami.

"Jadi kita berentap siapa yang boleh turunkan kilogram paling banyak. Apabila ada jurulatih pantau, ia tak susah. Cuma hati kena cekal dan berdisiplin. Nafsu makan pun kena jaga," katanya yang terkenal dengan slogan 'Gemuk Is Awesome'.

Ditanya mengenai kemungkinan isterinya, Siti Nurhidayah Mohd Ali yang dinikahi pada 8 Disember tahun lalu berbadan dua, Abam reda mereka belum ada rezeki menimang cahaya mata.

Baru-baru ini, Abam terbabit dengan penggambaran telefilem 3 Bahadol yang turut dibintangi Nasha Aziz untuk siaran sebuah stesen televisyen (TV) kabel, pada Aidilfitri kelak.

Berita Harian X