Khamis, 12 April 2018 | 2:42pm
KHAI Bahar. - Foto Rosela Ismail

Khai Bahar tebus kecewa di Bandung

KUALA LUMPUR: Selepas terkilan apabila hasratnya untuk menghiburkan peminat di Hong Kong, akhir tahun lalu tertangguh, Khai Bahar mengubati kekecewaan itu dengan menjayakan konsert mini di Bandung, Indonesia.

Pemilik nama lengkap, Muhammad Khairul Baharuddin, 24, itu berkata, dia akan menghiburkan peminat di sana pada 12 Mei ini, sekali gus menunaikan janji kepada peminat selepas persembahannya di Hong Kong ditangguhkan kerana taufan.

"Setiap penyanyi menginginkan ruang berkongsi bakat. Saya juga tidak terkecuali. Mungkin ada yang memandang sinis terhadap usaha ini kerana saya belum merakamkan banyak lagu.

"Namun, itu bukan halangan kerana konsert mini itu menjadi medan untuk menguji kreativiti saya. Di samping menyanyikan lagu sendiri seperti Bayang dan Luluh, saya juga memilih beberapa lagu popular lain untuk disampaikan dalam versi tersendiri.

"Ketika ini, persiapan sedang rancak dijalankan. Paling mengujakan apabila mendapat tahu peminat dari negara lain akan turut bersama saya di Bandung nanti. Ia penghargaan paling bermakna, terutama untuk penyanyi baharu seperti saya," katanya.

Selepas Luluh, jejaka yang mula dikenali menerusi aplikasi Smule ini muncul dengan lagu duet bersama penyanyi baharu, Fatin Husna, Rahsia Kita. Lagu ciptaan bersama Harris Yusoff dan Jim Bimasakti itu mula diperkenalkan di YouTube sejak 21 Mac lalu.

Penyanyi kelahiran Perlis itu berkata, dia juga akan muncul dengan dua lagi single solo untuk melengkapkan perjalanan kerjaya nyanyiannya pada tahun ini.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap Rahsia Kita itu begitu memberangsangkan. Setakat ini, muzik video lagu itu sudah ditonton lebih 1 juta. Insya-Allah, selepas raya nanti, saya akan melancarkan single solo yang sudah siap dirakamkan," katanya.

Mengenai projek duet bersama Siti Nordiana atau Nana, Khai berkata, mereka dijadualkan memasuki studio rakaman tidak lama lagi.

"Ketika ini, kami masih mencari masa yang sesuai untuk memulakan rakaman memandangkan masing-masing terikat dengan pelbagai komitmen kerja. Saya tidak mahu rakaman lagu duet kami dibuat secara tergesa-gesa atau sekadar tangkap muat.

"Saya mahu segala-galanya dirancang rapi, tambahan pula berduet dengan Nana sudah menjadi impian saya sejak sekian lama. Biarlah penantian itu berbaloi," katanya.

Berita Harian X