Ahad, 8 April 2018 | 10:07am
PENYANYI, Sahara Yaacob, ketika menjayakan persembahan di Wow KL, Jalan Ampang. - Foto: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Sahara tebalkan muka elak batal persembahan

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sahara Yaacob, mendedahkan persembahan beliau di sebuah lokasi terkenal di ibu kota, Khamis lalu, hampir tidak dapat diteruskan disebabkan masalah kewangan.

Bagi mengelakkan 'showcase' yang sudah lama dirancang itu batal, Sahara atau nama lengkapnya Zaharah Mohd Yaacob, 61, dalam nada sedih berkata, beliau terpaksa menebalkan muka meminta bantuan daripada pelbagai pihak, termasuk kerajaan.

"Apapun terjadi, Showcase I Am Back Sahara Yaacob harus diteruskan. Inilah juga maruah saya. Jika saya membatalkan persembahan ini, orang tidak lagi mempercayai saya sampai bila-bila. Justeru, saya perlu membuktikan diri ini mampu melakukannya.

"Tiga hari sebelum persembahan, bersama orang kuat yang banyak membantu saya, Datuk Tommy, kami pergi berjumpa dengan beberapa pihak termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, bagi meminta pertolongan. Alhamdulillah, beliau sudi untuk memberi sumbangan.

"Dapatlah saya membayar mereka yang terbabit dalam produksi ini, sekali gus membolehkan persembahan berjalan dengan sempurna," katanya ketika ditemui selepas acara berakhir.

Pada majlis itu, penyanyi yang terkenal dengan genre rock ini turut melancarkan Persatuan Transformasi Artis Malaysia yang menyaksikan dirinya sendiri bertindak sebagai Presiden.

Kata penyanyi Suri Rumah Blues ini, niatnya hanya satu dalam menerajui persatuan berkenaan, iaitu melihat anak seni dan keluarga mereka meneruskan kehidupan dengan sempurna.

"Ada beberapa projek akan saya jalankan dengan kerjasama pihak kerajaan. Tujuannya adalah untuk membantu anak seni yang hidup dalam kesusahan.

"Kalau bukan kita yang membantu mereka, siapa lagi? Kalau dilihat semula, bantuan yang ada sekarang pun tidak dilakukan dengan betul dan hanya menguntungkan sebelah pihak.

"Kalau boleh, kita akan bagi mereka pancing selain daripada ikan untuk manfaat masing-masing," katanya berkias.

Menerusi persembahan selama sejam setengah itu, Sahara membuktikan faktor usia bukan halangan untuk beliau menghiburkan tetamu dengan lagu rancak dan bertenaga.

Walaupun mempersembahkan 11 lagu secara terus-menerus, tenaga penyanyi ini sangat konsisten dan beliau berupaya mengekalkan momentum persembahan sampai ke akhir.

Berita Harian X