Sabtu, 7 April 2018 | 7:44pm
PELAKON dan pengacara, Sherry Alhadad, ketika menghadiri sesi ramah mesra bersama peminat di Setapak, Kuala Lumpur. - Foto: Nik Hariff Hassan

'Bukan nak cantik macam Erra'

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon popular, Sherry Alhadad, kehilangan 11 kilogram (kg) berat badan menerusi amalan senaman dan menjaga pemakanan sejak Januari lalu.

Begitupun kata artis serba boleh ini, beliau bukannya ingin kelihatan cantik seperti Erra Fazira apabila berbuat begitu, sebaliknya demi kehidupan lebih sihat.

Menurut pengacara The Sherry Show itu, dengan bantuan jurulatih peribadi, beratnya kini adalah 108 kg.

Sherry juga berkata, ada sesetengah rakan meragui kesungguhannya untuk menurunkan berat badan, selain mempersoalkan apakah beliau mahu kehilangan identiti.

"Saya sedar, sudah 34 tahun saya hidup sebagai seorang yang bertubuh gempal. Saya juga tertanya-tanya sendiri, adakah benar saya mahu meninggalkan 'sisa hidup' ini? Saya sudah selesa dengan keadaan tubuh seperti ini.

"Jujurnya, saya sihat dan tiada sebarang penyakit ketika ini. Bagaimanapun, doktor yang sering melakukan pemeriksaan kesihatan memberitahu, mungkin saya ada tempoh tiga tahun lagi untuk hidup sihat begini," katanya ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama peminat di Butik Asyikin Exclusive di Setapak Central Mall, di sini petang tadi.

Sherry berkata, doktor turut menasihatkannya menurunkan berat badan jika tidak mahu ditimpa penyakit berbahaya.

"Saya tahu, memiliki tubuh besar terdedah dengan penyakit berbahaya. Sebenarnya, saya sudah memasang niat untuk menurunkan berat badan sejak berusia 12 tahun lagi.

"Bagaimanapun, ia hanya impian. Kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat semakin menebal apabila usia meningkat dewasa," katanya.

Wanita kelahiran ibu kota ini berkata, beliau dapat berasakan perubahan pada dirinya apabila berat badan semakin menyusut.

"Kerja saya bukan hanya berdiri dan bercakap kerana ada masanya saya perlu menari dan berlakon. Sekarang, saya tidak lagi tercungap-cungap ketika mengadakan persembahan.

"Jangan juga fikir saya kurus sebab mahu cantik dipandang mata. Saya sebaliknya tidak pernah ada perasaan malu bertubuh gempal. Bagi saya, cantik itu subjektif dan orang gemuk juga boleh tampak cantik jika pandai bergaya.

"Apa yang saya lakukan kini adalah demi kesihatan diri," katanya.

103 dibaca
Berita Harian X