Jumaat, 30 March 2018 | 6:26pm
FOTO terbaru yang dimuat naik Izreen di Instagramnya, malam tadi.

Izreen, Ude buka semula Instagram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir sebulan menyahaktif akaun Instagram, pelakon sensasi, Izreen Azminda dan suaminya, Ude Wahid kembali mengaktifkan semula akaun laman sosial masing-masing, tengah malam tadi.

Menerusi entri terbaru, Izreen atau nama penuhnya, Izreen Azminda Aznam, 33, memuat naik gambar bersama keterangan: "Smile, things are working out (Senyum, semuanya berjalan lancar)."

Pelakon drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu bagaimanapun, masih menutup ruangan komen.

Sementara itu, Ude atau nama sebenarnya, Muhammad Radzi Abdul Wahid hanya mengaktifkan semula akaun laman sosialnya tanpa berkongsi muat naik terbaru.

Penghujung tahun lalu, industri hiburan gempar apabila Izreen membuat pengakuan sudah menjadi isteri kedua kepada pemuzik bebas itu sejak 8 Ogos lalu. Pasangan itu diijabkabulkan dalam satu majlis tertutup di Damansara.

Ekoran pengakuannya sekadar menumpang kasih, Izreen menerima kecaman netizen tanpa henti, sekali gus memaksa pelakon yang berasal dari Perlis itu bertindak menutup ruangan komen di Instagramnya.

Mereka seterusnya mengambil keputusan untuk 'berehat' sementara daripada muncul di laman sosial sejak 2 Mac lalu.

Tindakan itu dibuat dipercayai berpunca kecaman dan kritikan yang diterima apabila Ude memfailkan perceraian terhadap isteri pertama, Intan Liana Saleh.

Ude memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 28 Februari lalu, seterusnya bercerai bercerai talak satu pada 22 Mac lalu.

Hasil perkahwinan pertama pada 1 Mac 2013 itu, Ude dikurniakan dua cahaya mata, Arish Muqri, 3, dan Ariq Muqri, 1.

Berita Harian X