Jumaat, 30 March 2018 | 4:30pm
NORMAN Hakim (kiri) dan Memey Suhaiza mengesahkan bakal menimang bayi perempuan selepas melakukan imbasan 6D. - Foto Adi Safri

Anak perempuan 'hadiah' Memey untuk Norman

KUALA LUMPUR: Pelakon Memey Suhaiza, 30, mengesahkan bakal menimang bayi perempuan selepas melakukan imbasan 6D (teknik enam dimensi) di sebuah pusat perubatan, semalam.

Katanya, dia dan suami, Norman Hakim kini sudah boleh membeli barang keperluan si kecil yang bakal dilahirkan akhir Julai nanti memandangkan sebelum ini, mereka masih tidak mengetahui jantinanya.

"Sebelum ini, suami beriya-iya mengatakan, anak ketiga kami perempuan. Namun, selagi tiada pengesahan doktor, saya enggan membuat persediaan terlalu awal.

"Semalam, buat pertama kali saya melakukan imbasan 6D dan kami disahkan bakal mendapat anak perempuan. Saya tidak kisah mengenai jantina bayi, malah bersyukur dikurniakan rezeki ini.

"Sudah tentu suami paling gembira kerana jumlah anaknya sudah cukup korum, tiga lelaki dan tiga perempuan," katanya ketika dihubungi BH Online.

Mengenai kandungan yang sudah memasuki bulan kelima itu, Memey berkata, kehamilan terbarunya ini sangat mudah, malah dia sentiasa aktif menjalankan aktiviti harian.

"Sepanjang tempoh hamil, saya cukup bertenaga. Saya masih mampu menguruskan anak-anak, memasak dan mengendalikan urusan perniagaan.

"Berbeza dulu, terutama ketika hamil anak sulung, saya mengalami alahan berterusan hingga hampir detik bersalin," kata pelakon Gerak Khas itu lagi.

Terdahulu, rumah tangga yang dibina dengan Norman pada 2011 dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Norman memperoleh tiga zuriat, Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Berita Harian X