Selasa, 27 March 2018 | 12:29pm
SASHA Saidin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sasha tabah bersendirian

KUALA LUMPUR: Enam tahun bergelar ibu tunggal, penyanyi dan pelakon Sasha Saidin tabah membesarkan anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono atau Arya bersendirian.

Sasha berkata, dia sentiasa positif, malah bersyukur mampu melunaskan dua peranan serentak iaitu sebagai ibu dan 'ayah' kepada anaknya yang kini berusia sembilan tahun.

Anggota kumpulan Elite itu berterima kasih kepadanya ibunya yang banyak membantu melancarkan urusan hariannya apabila dia perlu keluar bekerja bagi memenuhi pelbagai tawaran kerjaya seni.

"Alhamdulillah, saya tidak pernah mengeluh dengan situasi yang saya dilalui. Arya juga seperti memahami. Dia pernah bertanya mengenai bekas suami dan saya jelaskan, hubungan kami kami tidak lagi baik.

"Arya faham, namun sebagai ibu, saya akan memastikan segala yang terbaik untuknya. Dia adalah fokus utama saya, manakala kerja seni kini jatuh tempat kedua. Syukur saya mampu menjalankan tanggungjawab itu dengan baik.

"Tanpa ibu yang menjadi tulang belakang kekuatan, mungkin pergerakan harian saya tidak selancar ini," katanya.

Sasha sebelum ini, mendirikan rumah tangga dengan Salyo Priyanto Nutosoemarsono yang berasal dari Indonesia pada 2007, tetapi berpisah talak satu pada 10 Julai 2012.

Sebelum itu, Sasha bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun berpisah empat tahun kemudian.

Kakak kepada pelakon Zain Saidin itu mengakui, sukar membesarkan anak tanpa suami di sisi, terutama apabila membabitkan emosi kerana dia juga perlukan seseorang sebagai tempat mengadu.

"Selepas bercerai, ibu dan beberapa teman baik menjadi tempat untuk saya berkongsi masalah. Saya memerlukan teman yang setia mendengar dan tidak menilai saya.

"Mengenai bekas suami, dia harus tahu tanggungjawab kerana Arya memerlukannya. Namun, saya tidak mendesak kerana mungkin dia ada masalah sendiri. Saya positif, biarpun tidak mudah membesarkan anak bersendirian," katanya.

Ditanya mengenai teman istimewa, Sasha berkata, dia masih belum menemui jejaka yang serasi, namun tidak menafikan mempunyai seorang rakan lelaki yang akrab untuk berkongsi isi hati.

168 dibaca
Berita Harian X