Sabtu, 24 March 2018 | 8:26pm
Penyanyi, Sufian Suhaimi. - Foto Aziah Azmee

Penangan Di Matamu Sufian

KUALA LUMPUR: Biarpun impian ke jenjang pelamin tidak menjadi kenyataan, Sufian Suhaimi, 26, masih mampu tersenyum apabila muzik video terbarunya, Di Matamu mencatat jumlah tontonan lebih dua juta selepas 24 jam dilancarkan.

Luka di hatinya juga sedikit sembuh apabila muzik video yang dilancarkan pada hari dia sepatutnya disatukan dengan bekas tunangnya, Elfira Loy, semalam turut menduduki tangga teratas carta Trending YouTube di negara ini.

Menyifatkan pencapaian itu sebagai antara kenangan manis sepanjang dua tahun melakar nama dalam industri muzik, Sufian bersyukur apabila peminat memberikan maklum balas positif terhadap lagu itu.

Terdahulu, sedutan klip video lagu ciptaan bersama Sirkhan dan Rinkarnaen itu yang dimuat naik di laman video popular itu sejak tiga minggu lalu mencatat lebih 10 juta tontonan.

"Alhamdulillah, rata-rata peminat memberikan maklum balas positif dan saya berharap, lagu ini akan mendapat terus mendapat tempat untuk jangka masa panjang.

"Walaupun 23 Mac sepatutnya menjadi detik bahagia saya bergelar suami, ia tetap mencatat sejarah manis apabila muzik video rasmi Di Matamu mendapat sambutan hangat peminat," katanya.

Sufian berkata, muzik video itu sepatutnya dilancarkan bulan depan, namun dia memilih untuk memperkenalkannya semalam sebagai kenangan sempena tarikh istimewa dalam hidupnya.

"Saya tetap mahu 23 Mac menjadi detik istimewa untuk dikenang, jadi saya pilih melancarkan muzik video lagu ini.

"Saya akui agak gementar memikirkan penerimaan peminat, apatah lagi muzik video tidak rasmi sebelum ini mendapat sambutan luar biasa.

"Penerimaan di luar jangkaan ini memberi saya semangat untuk terus bangkit dan menghasilkan karya lebih baik untuk industri muzik," katanya.

Meskipun ramai menganggap cerita yang dipaparkan dalam muzik video itu berkisar mengenai cintanya dan Elfira, Sufian menegaskan, ia bukan gambaran penuh perjalanan kehidupan peribadinya.

Sebaliknya, kata Sufian, muzik video itu bercerita mengenai lelaki yang yang pernah melalui zaman gelap dalam hidup.

Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 8 Oktober tahun lalu, namun terlerai 17 Februari lalu.

106 dibaca
Berita Harian X