Sabtu, 24 March 2018 | 3:51pm
HAEL Hussaini (kiri) dan penyanyi Nabila Razali. - Foto NSTP

Hael ada pakej lengkap sebagai lelaki idaman

IPOH: Tidak menafikan Hael Hussaini memiliki kriteria jejaka idamannya, penyanyi Nabila Razali, 26, bagaimanapun mengakui, masih terlalu awal untuk dia berbicara mengenai jodoh.

Nabila juga berharap, pengakuannya itu tidak disalahertikan kerana dia dan penyanyi lagu Jampi itu sudah lama rapat, sejak mereka bersama-sama menyertai program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2013.

"Saya senang dengan peribadi Hael yang penyayang, kemas, bersih dan sentiasa menjaga penampilan. Cuma, mungkin dia kurang dari segi ketinggian. Sikap penyayang Hael begitu ketara, terutama apabila bersama anaknya, Helena.

"Mungkin ramai yang tidak tahu kami sebenarnya sudah lama rapat sejak AF 2013 lagi. Dia banyak membantu saya dari segi persembahan, malah sampai sekarang Hael banyak membimbing terutama dalam pemilihan lagu.

"Disebabkan itu, apabila melihat kami rapat, ramai yang salah faham dan menganggap kami sedang bercinta. Hael sentiasa bersama saya dari zaman saya dikutuk hingga mendapat tempat dalam industri," katanya.

Keakraban pasangan ini mula diperkatakan apabila Nabila dilihat menitiskan air mata ketika lagu ciptaan Hael bersama Ezra Kong, Jampi dinobatkan sebagai juara pada kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32), 11 Februari lalu.

Nabila ditemui di Karnival GegaRia edisi keempat yang sedang berlangsung di Dataran Amanjaya, Meru di sini, hari ini.

Menyerikan segmen perkongsian mengenai fesyen, Nabila turut menghiburkan pengunjung dengan dua lagu popularnya, Pematah Hati dan Cemburu, selain New Rules nyanyian asal Dua Lipa.

Selain itu, Nabila juga dijadualkan memulakan penggambaran drama Cintaku Di Bumi Izmir di Turki selama sebulan pada minggu depan.

129 dibaca
Berita Harian X