Sabtu, 24 March 2018 | 10:12am
PENYANYI, Adira, ketika hadir pada sidang media bersama Rocketfuel Entertainment di Pavillion KL, baru-baru ini. - Foto Mahzir Mat Isa
PENYANYI, Adira Suhaimi, bersama anak dan suami. - Foto Instagram Adira
ANAK Adira, Anggrek, baru saja menyambut ulang tahun pertama kelahirannya, baru-baru ini. - Foto Instagram Adira

'Panggilan kakak bukan bermakna saya hamil'

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira, menjelaskan dirinya belum lagi hamil walaupun tubuhnya ketika ini dikatakan kelihatan lebih berisi.

Menurutnya, ramai peminat membuat andaian beliau kini berbadan dua selepas melihat perubahan pada fizikalnya, apatah lagi dirinya dan suami, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red, memanggil anak pertama mereka dengan gelaran kakak.

Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, 27, berkata, mereka juga tidak menyangka panggilan untuk Anggrek membuatkan sesetengah pihak tertanya-tanya, apakah anaknya bakal mendapat adik.

"Saya belum lagi hamil... Cuma mungkin wajah bulat dan badan yang tampak berisi membuatkan ramai membuat andaian sedemikian. Tambahan pula kami memanggil Anggrek dengan gelaran kakak.

"Sekiranya ada khabar gembira, pasti saya akan kongsi bersama semua orang. Sebenarnya, saya sendiri belum pasti (sama ada hamil atau sebaliknya) kerana sebelum ini pun, saya cuma sedar sedang berbadan dua apabila kandungan sudah masuk minggu kesembilan.

"Apa pun, terima kasih kepada peminat yang masih menyokong saya, dalam soal peribadi mahupun kerjaya. Alhamdulillah, Anggrek pun baru saja menyambut ulang tahun hari lahir pertama, beberapa hari lalu," katanya kepada BH Online.

Adira mendirikan rumah tangga dengan Datuk Red, 40, pada 2015.

Dalam perkembangan terkini, penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kelapan itu giat mempromosikan single terbarunya, Sembunyi, ciptaan Alif Sleeq.

"Sebelum saya memutuskan untuk merakamkan lagu ini, ada juga beberapa karya lain yang diterima. Namun, Sembunyi hadir tepat pada masanya kerana saya memang mencari lagu bersesuaian dengan kehendak muzik sekarang.

"Saya sangat tertarik dengan lirik dan melodi lagu ini, yang dilihat seperti memberikan nafas baharu kepada saya," katanya.

Berita Harian X