Ahad, 18 March 2018 | 3:42pm

Elvina sah isteri usahawan berpangkat Datuk

KUALA LUMPUR: Aktres Elvina Mohamad, 23, selamat bergelar isteri kepada usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan, 32, pada majlis akad nikah di sebuah hotel di sini, pada jam 3.26 petang tadi.

Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad dan Mohd Haniff dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Asy Syakirin Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Mohd Radhi Abdul Ghani dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak.

Elvina menerima senaskah al-Quran menggantikan wang hantaran dan mas kahwin sebanyak RM700.

Elvina yang selesai menjalani penggambaran drama 30 episod, Isteri Untuk Diiktiraf siaran RTM, menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan dulang.

Majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 150 jemputan merangkumi keluarga, kenalan rapat pengantin dan media.

Pada majlis itu, pasangan pengantin mengenakan busana putih rekaan Inderaloka dan solekan oleh Sakinah.

Terdahulu, pada sesi berasingan sebelum akad nikah, pasangan mempelai ditunangkan secara ringkas. Ibu Haniff, Datin Roslaini Sirun menyarungkan cincin tunang di jari manis bintang drama Cinta Si Wedding Planner itu.

Majlis resepsi Elvina dan Haniff akan diadakan di lokasi sama, Sabtu depan.

Elvina dan Haniff yang berkenalan dua tahun lalu, mula rapat sejak setahun lalu. Mereka membuat keputusan membawa hubungan ke jenjang pelamin, kira-kira tiga bulan lalu.

ELVINA tampil anggun pada majlis pernikahan yang berlangsung di salah sebuah hotel di ibu negara, sebentar tadi. - Foto Wahi Aziz
HANIFF menyarungkan cincin di jari manis Elvina selesai majlis akad nikah di sebuah hotel di ibu negara, sebentar tadi. - Foto Wahi Aziz
HANIFF dan Elvina bertunang sebelum bernikah pada majlis serba indah di sebuah hotel di ibu negara, sebentar tadi. - Foto Wahi Aziz
Berita Harian X