Rabu, 14 March 2018 | 10:06pm
ELVINA ketika sidang media di The Garden, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Eizairi Shamsudin
ELVINA bakal bernikah dengan Haniff yang juga usahawan dan selebriti sukan permotoran, pada 18 Mac ini. - Foto Eizairi Shamsudin
ELVINA menerima seekor kuda baka Argentina hadiah daripada kekasih hati pada sambutan hari lahirnya, Januari lalu. - Foto Google

Elvina tak 'kemaruk' status Datin

KUALA LUMPUR: Aktres jelita, Elvina Mohamad menegaskan, keputusannya menamatkan zaman bujang pada usia baru mencecah 23 tahun bukan kerana risaukan bakal suami dirampas wanita lain atau kerana mahu bergelar Datin.

"Keputusan berkahwin dibuat bukan kerana takut wanita lain cuba merampas atau sebagainya. Tidak sama sekali," katanya yang bakal disatukan dengan kekasih hati, Datuk Mohd Haniff Borhan, 31, pada 18 Mac ini.

Sebaliknya, pelakon berkenaan berkata, dia tidak sedikitpun tergugat dengan andaian itu.

"Saya lihat, Haniff terlalu bersungguh-sungguh mahu berkahwin. Setiap kali berjumpa, dia mesti bercakap pasal kahwin. Malah. ketika merisik, dia mahu tarikh perkahwinan dipercepatkan. Saya nampak dia begitu serius dengan perkara ini," katanya.

Elvina bagaimanapun berharap tidak ada pihak membuat spekulasi kononnya keputusan menamatkan zaman bujangnya itu dibuat kerana mengejar gelaran Datin.

"Saya mengenali Haniff sebelum dia mendapat darjah kebesaran lagi. Saya tak kisah pun dengan gelaran yang diterima bakal suami," katanya.


ELVINA bersama bakal suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan. - Foto Eizairi Shamsudin

Majlis nikah ringkas

Baru-baru ini, Elvina atau nama penuhnya, Norzalina Mohamad mengumumkan bakal bernikah dengan Haniff yang juga usahawan dan selebriti sukan permotoran, pada 18 Mac ini.

Majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada jam 3 petang.

Pasangan itu akan ditunangkan kira-kira sejam sebelum diijabkabulkan. Majlis resepsi pula akan diadakan di lokasi sama pada 24 Mac depan.

Mengikut perancangan, Elvina, yang baru selesai menjalani penggambaran drama 30 episod, Isteri Untuk Diiktiraf yang bakal disiarkan RTM, Ramadan depan, menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan dulang.

Bagaimanapun, pasangan itu merahsiakan jumlah wang hantaran.

Masuk set dua hari lepas nikah

Mengaku belum puas membina nama di persada seni, bakat kelahiran Teluk Intan, Perak, itu memberitahu, aktiviti lakonan bergerak seperti biasa selepas berkahwin.


MENGAKU belum puas membina nama di persada seni, Elvina memberitahu, aktiviti lakonan bergerak seperti biasa selepas berkahwin. - Foto Eizairi Shamsudin

Malah, tambah Elvina, dua hari selepas bernikah, dia akan menjayakan penggambaran drama 26 episod, Bila Tuhan Berbisik, berganding dengan Datuk Awie dan Hazama.

"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Nampaknya, selepas bernikah, kami tidak sempat hendak berbulan madu.

"Lagipun, bakal suami sibuk dengan urusan perniagaan dan aktiviti perlumbaan. Jadi perancangan untuk berbulan madu terpaksa ditangguhkan," katanya baru pulang dari Rome, Itali, kerana menjayakan penggambaran drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

Semakin serasi dengan polo

Elvina turut menerima seekor kuda baka Argentina hadiah daripada kekasih hati pada sambutan hari lahirnya, Januari lalu.

Hadiah istimewa itu diberikan Haniff semata-mata mahu Elvina yang bakal menjadi suri hidupnya, menyesuaikan diri dengan sukan polo yang diminati lelaki itu.

Elvina memberitahu, sejak menerima hadiah kuda itu, dia mula mempelajari pelbagai perkara mengenai sukan polo termasuk permotoran yang menjadi minat si dia.

"Untuk memahami pasangan, kita perlu buat benda yang dia buat. Bakal suami mahu saya 'masuk' ke dunianya iaitu sukan polo dan permotoran.

"Saya beri nama kuda itu, Indiana. Alhamdulillah, saya semakin serasi dengan haiwan itu. Haniff mengajar saya cara-cara menunggang kuda dan teknik bermain polo," katanya kepada BH Plus.


ELVINA atau nama penuhnya, Norzalina Mohamad. - Foto Eizairi Shamsudin

Biodata

Nama sebenar: Norzalina Mohamad
Nama komersial: Elvina Mohamad
Umur: 23 tahun
Tarikh lahir: 25 Januari 1995
Asal: Teluk Intan, Perak, Malaysia
Drama: Cinta Si Wedding Planner, Mariam Alisa, Suamiku Paling Sweet dan Shhh... I Love You
Telefilem: Belia Mencari Cinta, Kungfu Kaw dan Imamkan Aku

Berita Harian X