Rabu, 7 March 2018 | 8:41pm
PENYANYI, Ernie Zakri. - Foto: Syarafiq Abd Samad

Moga ada penyelesaian yang baik - Ernie

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakry, mengharapkan penyelesaian yang baik buat ibu saudaranya, Ziana Zain, dalam berdepan kes suaminya didakwa atas tuduhan mencederakan anak lelaki mereka, 25 Februari lalu.

Katanya, dia sekeluarga turut berasa sedih sebaik saja mendengar berita membabitkan Ziana, yang dipanggil Mak Long itu.

"Jujurnya, saya tiada komen berhubung isu ini, malah cukup menghormati Mak Long. Kami hanya mampu mendoakan yang baik-baik saja untuknya.

"Secara peribadi, saya tidak berapa tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kami juga mengharapkan penyelesaian yang baik buat beliau sekeluarga," katanya kepada BH Online.

Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam, Armin Zaharin Ahmad Zambri mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Armin yang tidak bekerja, didakwa menyebabkan kecederaan luka dan lebam terhadap seorang anaknya dengan menggunakan rotan.

Berikutan itu, Armin didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada mana-mana seksaan itu.

Ziana atau nama sebenar Siti Rozianah Zain yang mencipta populariti sejak 1991 dengan rangkaian lagu dan album hit, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, laporan polis dibuat sendiri oleh penyanyi Kemelut Di Muara Kasih itu pada 27 Februari, sebelum Armin ditahan pada Jumaat lalu.

Pada masa sama, Ernie yang juga berpangkat anak saudara kepada Ziana berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu, apatah lagi ia sudah berada di peringkat mahkamah.

Berita Harian X