Rabu, 7 March 2018 | 5:05pm

Elvina kahwin Datuk muda 18 Mac

KUALA LUMPUR: Pelakon, Elvina Mohamad, 23, bakal bernikah dengan pilihan hatinya, usahawan dan selebriti sukan permotoran, Datuk Mohd Haniff Borhan, 31, pada 18 Mac ini.

Elvina atau nama penuhnya Norzalina Mohamad berkata, majlis pernikahan akan diadakan secara ringkas di sebuah hotel terkemuka di ibu kota, jam 3 petang.

Pasangan berkenaan juga akan hanya ditunangkan kira-kira sejam sebelum akad nikah berlangsung.

Katanya, beliau terbuka hati untuk mengakhiri zaman bujang pada usia muda berikutan bakal suaminya dilihat begitu bersungguh-sungguh mahu menjadikannya sebagai isteri.

"Saya percaya, soal jodoh adalah ketentuan Yang Maha Kuasa. Cepat atau lambat bukanlah kita yang menentukannya.

"Saya juga berasakan keputusan untuk berkahwin ini bukan penghalang kepada kerjaya seni, sebaliknya saya yakin ada rahmat menanti pada hari nan mendatang.

"Pihak pengurusan saya sendiri, MindOrder Sdn Bhd, sudah meneliti sedalam-dalamnya keputusan ini, selain restu daripada kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Alhamdulillah, mereka sentiasa menyokong dan tidak henti memanjatkan doa atas keputusan saya ini," katanya.

Majlis resepsi Elvina dan Haniff akan diadakan di lokasi sama pada 24 Mac.

Pada majlis itu nanti, Elvina, yang baru selesai menjalani penggambaran drama 30 episod, Isteri Untuk Diiktiraf, bagi siaran RTM pada Ramadan nanti, bakal menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan.

Bagaimanapun, mereka memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.

Mengakui belum puas membina nama di persada seni, bakat kelahiran Teluk Intan, Perak, itu berkata, aktiviti lakonannya berjalan seperti biasa selepas majlis perkahwinannya nanti.

Malah, dua hari selepas bernikah, Elvina akan menjayakan penggambaran drama 26 episod, Bila Tuhan Berbisik, bergandingan dengan Datuk Awie dan Hazama, untuk siaran TV3.

"Alhamdulillah, rezeki saya dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Nampaknya, selepas bernikah nanti, kami tidak sempat pun nak berbulan madu.

"Lagi pun, bakal suami juga sibuk dengan urusan perniagaan dan aktiviti perlumbaannya, jadi perancangan untuk berbulan madu terpaksa kami tangguhkan dulu," katanya yang baru pulang dari Rome, Itali, kerana menjayakan penggambaran drama Ti Amo Sweetheart 100 Hari.

1015 dibaca
PELAKON, Elvina Mohamad.
PELAKON, Elvina Mohamad bersama bakal suami, Datuk Haniff Borhan ketika sesi fotografi pada sidang media di The Garden. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X