Isnin, 26 Februari 2018 | 1:05pm
KUMPULAN Voidavoid dianggotai (dari kiri) Adam (basis), Mukhlis (dram), Mohsein (vokalis) dan Muzz (gitaris).

Voidavoid mahu ke AJL

KUALA LUMPUR: Biarpun masih 'merangkak' mencari tapak, kumpulan baharu, Voidavoid memasang impian mempertaruhkan dendangan bermutu agar dapat mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

Vokalisnya, Amir Mohsein Kushairi berkata, walaupun perjalanan masih jauh, dia dan teman-teman band mahu meletakkan penanda aras dalam berkarya demi memenuhi impian menjejakkan kaki ke pentas berprestij itu.

"Misi pertama kami adalah sertai AJL. Mungkin terlalu awal untuk memikirkan mengenainya, tetapi tidak salah kita meletakkan penanda aras untuk berusaha keras.

"Ketika ini, kami mahu perkenalkan album EP pertama berjudul Lost And Found. Kami yakin dengan muzik yang ditampilkan, ia akan memberi tarikan buat pendengar," katanya kepada BH Online.

Selain Amir, Voidavoid dianggotai Wan Adam Nuqman yang bermain gitar bes, Amir Mukhlis Kushairi (dram) dan Tengku Mizaini (gitar).

Album EP berjudul Lost And Found berkonsepkan genre pop rock, balada dan alternatif rock. Ia menampilkan lima lagu iaitu Intro, Lost and Found, Demimu, Mengapa? dan Don't Let Go.

Tambah Amir Mohsein, dia mencipta semua lagu dan lirik kecuali senikata bagi lagu Lost and Found dihasilkan bersama Izzad dari band

XYX Class Of Sound serta lirik Don't Let Go yang ditulis bersama Umar Marzuki.

Amir Mohsein berkata, album EP berkenaan cukup istimewa kerana ia produk terbaik dihasilkan mereka.

"Kami tidak pernah menyangka mampu memiliki album EP. Kalau hendak tahu, perjalanan karier dan muzik band seperti Coldplay, Hujan, Bunkface dan Modescape memberi inspirasi untuk kami bergerak ke depan.

"Insya-Allah, album kami akan diedarkan di stesen radio tempatan, tidak lama lagi. Untuk single pertama, kami akan pertaruhkan lagu Mengapa?" katanya sambil menambah dia dan teman band akan membuat persembahan pada acara, Tempatan Fest di Gombak pada 3 Mac depan.

Lagu Voidavoid boleh didengar menerusi aplikasi Spotify dan Youtube.

Ikuti perkembangan Voidavoid di Instagram (@voidavoidband); Facebook (Voidavoid); Twitter (@voidavoidofficial) dan Youtube (Voidavoidofficial).

Berita Harian X