Ahad, 25 Februari 2018 | 2:38pm
HAFIZ dan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah, bersama anak mereka, Muhammad Riyadh Zafri. - Foto Rohanis Shukri

Hafiz pilih lagu Islamik

SUBANG JAYA: Penyanyi, Hafiz Suip, memilih genre Islamik untuk single terbaru beliau bagi mengimbangi kerjaya seninya agar tidak terlalu tertumpu kepada muzik kontemporari.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano itu, beliau bukanlah beralih sepenuhnya kepada muzik kerohanian, sebaliknya sebagai artis beliau perlu juga melakukan sesuatu untuk 'saham akhirat'.

"Saya masih lagi belajar dan ia juga bukan bererti saya beralih terus daripada lagu balada yang biasa dibawakan selama ini. Cuma, hati saya terdetik nak buat sesuatu untuk saham akhirat di samping mendidik peminat.

"Sebagai penyanyi, rasanya hanya menerusi lagu saya boleh berbuat begitu. Saya menyukai konsep lagu Lah Ahmad dan Mahir Zain. Pendekatan sebegitu yang akan cuba saya terapkan dalam single terbaru nanti," katanya.

Ditemui pada majlis cukur jambul anaknya, Muhammad Riyadh Zafri, di sini, Hafiz yang tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat pengurusan berkata, beliau kini bebas untuk membuat keputusan sendiri.

Kata penyanyi yang akan menginjak ke usia 28 tahun pada 27 Februari ini, beliau amat tertarik dengan seni kata lagu Awan Nano, yang membuatkannya ingin mencuba genre terbabit, seterusnya memberikan kelainan kepada peminat.

"Kalau kita hayati lirik lagu Awan Nano, ia menceritakan mengenai penghijrahan Rasulullah. Ada juga lagu lain seperti Tak Selalu Indah oleh Kautsar yang menceritakan mengenai kehidupan kita. Lagu yang mempunyai unsur nasihat dan tidak kosong seperti inilah yang ingin saya bawakan.

"Saya tidak mengatakan industri muzik sekarang teruk, cuma saya ingin mencari jalan bagaimana untuk mencantikkannya lagi. Selain mengajak teman dan rakan untuk berhibur, saya juga mahu membawa mereka melakukan sesuatu yang dekat dengan Allah," katanya.

Berita Harian X