Sabtu, 24 Februari 2018 | 1:37pm
PELAKON dan penyanyi, Linda Rafar, bakal muncul dengan single berjudul Satu Lagi. - Foto: Saifullizan Tamadi

Lagu baharu Linda untuk arwah anak

KUALA LUMPUR: Sekalipun dilihat seperti tidak lagi aktif di persada seni, namun Linda Rafar sebenarnya tak pernah melupakan minatnya terhadap nyanyian.

Malah, Linda, yang pernah menganggotai kumpulan Elite dan G.I.M, dalam diam sudah pun merakamkan single baharu ciptaan Edry Abdul Halim berjudul Satu Lagi.

Menurut Linda, kali terakhir dia muncul dengan single adalah kira-kira lima tahun lalu menerusi lagu Hak Milik Kekal, bersama-sama adiknya, Diana.

Kata Linda, 39, lagu terkini daripadanya itu dijangka dipromosikan bulan depan dan ia ditujukan khas buat arwah anak, Memen, atau nama penuhnya, Rezaimen Keiflin.

Memen meninggal dunia ketika usianya 11 tahun pada 5 Julai 2014 disebabkan barah perut atau 'Burkitt lymphoma'.

"Lagu ini dirakamkan pada bulan lalu di KRU Studios. Ia juga akan diedar dan dipromosikan oleh syarikat milik adik-beradik KRU.

"Satu Lagi dirakam khas buat arwah Memen. Malah, selain itu, saya juga merancang untuk menerbitkan novel kedua, Menunggumu Di Pintu Syurga.

Saya harap lagu dan novel ini akan memberi inspirasi serta kekuatan buat pesakit kanser, selain mereka yang kehilangan insan tercinta.

"Jika tiada aral melintang, filem menggunakan judul Menunggumu Di Pintu Syurga juga akan menemui penonton, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini dengan kerjasama KRU," katanya kepada BH Online.

Harapan Linda, lagu dan novel berkenaan dapat melepaskan rindu mereka yang menantikan buah tangan terbaru daripadanya.

"Apa yang saya lakukan ini bukan untuk meraih simpati atau inginkan glamor di persada seni.

"Saya berbuat demikian dengan niat suci ini, sekadar mahu berkongsi 'tips' dan kekuatan selepas sesuatu yang kita sayang kembali ke kepada Yang Maha Kuasa," katanya.

109 dibaca
Berita Harian X