Rabu, 21 Februari 2018 | 5:41pm

Lan Solo risau tak sempat teman isteri bersalin


LAN bersama isteri, Nur Sheila, ketika menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-32 di Bukit Jalil, baru-baru ini. - Foto Instagram Lan

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Lan Solo, risau apabila terpaksa berjauhan dengan isteri, Nur Sheila Hassim, 33, yang dijangka bersalin pada bila-bila masa saja ketika ini.

Bekas vokalis Kristal itu kini berada di Jakarta, Indonesia, bagi menjayakan sebuah program televisyen.

Lan atau nama penuhnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, bagaimanapun berkata beliau sudah membuat segala persiapan yang dirasakan perlu bagi memudahkan isterinya segera ke hospital apabila tiba masanya nanti.

"Memandangkan persetujuan untuk menjalani penggambaran program ini sudah lama dilakukan, saya perlu juga melaksanakan tugasan terbabit.

"Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, saya sudah menyiapkan beg isteri dan minyak kereta, selain mengisi kad Touch 'n Go. Isteri kini tinggal di rumah ibunya.

"Begitupun, sebelum meninggalkannya, Ahad lalu, saya sempat mengusap perut isteri dan bercakap dengan anak kami supaya bertahan sehinggalah saya kembali ke tanah air, malam esok," katanya kepada BH Online.

Dalam pada itu, menurut Lan, isterinya juga diminta mengawal pergerakan agar dapat bersalin mengikut masa yang tepat, iaitu ketika kandungan berusia 40 minggu.


BEKAS vokalis Kristal, Lan Solo. - Foto Aswadi Alias

Nur Sheila pernah berdepan masalah air ketuban bocor sehingga dimasukkan ke hospital, Disember lalu.

"Sementara nak tunggu bersalin, isteri memang perlu mengurangkan pergerakannya. Hendak melangkah naik dan turun kereta pun hanya sekali sehari. Dia juga tidak dibenarkan menaiki tangga.

"Sebagai suami, saya perlu mengingatkannya untuk makan ubat setiap hari dan mengawal pergerakannya. Biasalah, ada masanya dia terlupa. Walaupun berada di Jakarta, saya tetap memantau dari jauh," ujarnya yang bakal menjadi bapa buat kali keempat.

Dalam perkembangan lain, Lan kini berusaha menyiapkan single terbaru yang juga ciptaan dirinya sendiri, Berpisah Tanpa Rela.

Ia menjadi lagu solo pertama penyanyi terbabit selepas keluar daripada kumpulan Kristal, tahun lalu.

163 dibaca
Berita Harian X