Selasa, 20 Februari 2018 | 1:00pm
ATLET basikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang (dua dari kiri) bersama Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (dua dari kanan) pada sidang media filem biopik Azizulhasni Awang di UUM Kampus Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut sama pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin (kiri) dan Pensyarah UUM, Mohd Idzwan Yacob. - Foto BERNAMA

Siapa bawa watak The Pocket Rocketman?

KUALA LUMPUR: Berbesar hati pelakon Shaheizy Sam sedia membawa watak jaguh lumba basikal, Azizulhasni Awang, pengarah Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menjelaskan masih terlalu awal untuk produksi memilih barisan pelakon filem biografi atau biopik itu.

Raja Mukhriz memberitahu, pihaknya ketika ini masih dalam fasa mengumpul bahan untuk menerbitkan karya berkenaan.

"Tempoh enam bulan pertama ini adalah untuk kajian dan pengumpulan pengalaman Azizulhasni bermula zaman sekolah hingga ke era latihan di Bukit Jalil dan Australia.

"Dalam situasi sekarang, produksi perlu menilai daripada sudut perkembangan watak disebabkan ini filem biopik.

"Kita tidak tahu dari sisi mana kisah Azizul mahu diangkat. Soal pelakon, kami memang dalam misi mencari figura untuk menjadi The Pocket Rocketman, namun ia belum diperincikan lagi," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, BH Online melaporkan Sam menganggap bayangan Azizulhasni yang melihat dirinya membawakan watak jaguh lumba basikal itu sebagai suatu penghargaan dan sedia melakukannya.

Pada majlis pengumuman dan sidang media mengenai pembikinan filem terbabit, minggu lalu, juara dunia acara keirin itu memberi bayangan Sam paling dekat dengan karakter dirinya.

Raja Mukhriz bagaimanapun mengaku melihat ciri fizikal, bentuk muka, tinggi dan berat Sam menepati Azizulhasni.

"Kita tak sangkal Sam hampir sempurna untuk membawakan karektor utama ini

"Cuma kami tidak boleh terburu-buru kerana sesi uji bakat belum lagi dimulakan.

"Walau sesiapa pun dibariskan nanti, ada beberapa ciri lain yang diambil kira kerana fasa antara zaman sekolah hingga ke tahap sekarang adalah panjang," katanya.

Bersandarkan perancangan ThreeSixty Management, UniTalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku penerbit bersama, filem berbajet RM6 juta itu dijangka dapat ditayangkan pada pertengahan tahun depan.

22 dibaca
Berita Harian X