Isnin, 19 Februari 2018 | 10:33am
PEMENANG Vokal Terbaik, Syamel dan Ernie Zakri pada Anugerah Juara Lagu (AJL) akhir ke-32 di Axiata Arena, Bukit Jalil. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ramai 'buru' Ernie untuk ajar vokal

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih seminggu berlalu, masih ramai yang memperkatakan paduan vokal mantap antara Ernie Zakri dan Syamel di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32.

Bagi Ernie yang mula digelar puteri bersuara emas, semua pujian dan komen dianggap pemangkin semangat untuk membuktikan keupayaannya dalam industri seni.

Pada masa sama, ramai peminat menantikan gandingan serasi Ernie dan Syamel dalam dendangan baharu.

Memberitahu BH Online, Ernie berkata ketika ini tumpuan lebih kepada projek single solo yang akan dilancarkan bulan depan atau selewat-lewatnya, April ini.

"Saya tahu ada yang tertunggu-tunggu paduan suara kami seterusnya. Namun, ia masih dalam perancangan. Kalau diikutkan, Syamel ada lagu solo yang mahu dipromosikannya.

"Saya pula sudah masuk studio untuk rakaman single baharu. Jadi kami perlu tunggu segala perincian untuk projek solo disempurnakan sebelum memikirkan dendangan duet.

"Soal lagu itu berkonsep pop atau balada, belum ditentukan. Siapa tahu, mungkin ia projek lagu raya? Bagaimanapun, terima kasih kepada yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Ditanya maklum balas diterima selepas meraih trofi Vokal Terbaik pada AJL 32, Ernie mengaku ramai yang menghubungi untuk mendapatkan khidmat sebagai jurulatih vokal peribadi.

Namun, tambah Ernie, dia terpaksa menghampakan permintaan disebabkan jadual kerja yang terlalu padat selain tumpuan kepada pelajar sedia ada.

"Syukur ramai percaya bakat saya sama ada sebagai penyanyi mahu pun guru vokal. Semua ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa Syamel dan semua yang mendoakan kami.

"Saya juga mendapat ramai peminat baharu. Ada antara mereka baru menyedari saya adalah guru vokal dan bertanya sama ada saya boleh membimbing mereka," katanya.

Ernie berkata, dia sedar ada peminat terutama dari Brunei, Singapura dan Indonesia yang mengenalinya selepas muncul di pentas AJL 32.

"Alhamdulillah...Saya tak ralat biarpun ada yang tidak kenal. Ini kerana bagi saya, paling utama pada malam itu kami sudah memberi yang terbaik.

"Memang sejak dulu saya nantikan pendedahan begini. Pentas AJL 32 memberi ruang positif buat permulaan tahun ini," katanya.

Paduan suara antara Ernie dan Syamel yang membawakan lagu berjudul Aku Cinta pada malam kemuncak AJL 32 setakat ini sudah ditonton lebih dua juta kali di YouTube.

Berita Harian X