Jumaat, 16 Februari 2018 | 9:28am
Kugiran Masdo ketika Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Berhad di padang A, Angsana Johor Bahru Mall. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kugiran Masdo jual CD sendiri

KUALA LUMPUR: Andai ramai penyanyi atau kumpulan memilih memasarkan lagu melalui platform digital, Kugiran Masdo lebih suka pendekatan 'old school' dengan menjual sendiri cakera padat (CD) kepada peminat.

Mula mengorak langkah mengembangkan muzik ke arus perdana, band indie dianggotai empat anak muda ini menggunakan kesempatan menjual produk termasuk CD dan kemeja-T setiap kali mengadakan persembahan.

Vokalis kumpulan itu, Ali Sariah berkata, kumpulan itu sangat teruja apabila peminat mula mengenali Kugiran Masdo selepas muncul dalam beberapa persembahan termasuk terbaharu, siri festival hipster, GegaRia anjuran Media Prima Berhad (MPB).

"Alhamdulillah, saya anggap ini semua rezeki. Saya terkejut melihat sambutan yang diberi peminat.


Persembahan daripada Kugiran Masdo ketika Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Berhad di padang A, Angsana Johor Bahru Mall. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Kami bersyukur kerana muzik yang dimainkan boleh diterima dan peminat juga menghafal lirik lagu kami," katanya kepada BH Online.

Selain Ali yang turut bermain gitar, Kugiran Masdo dianggotai Azham Ahmad yang bermain dram, Putu Ceri (bass/vokal) dan Asmawi (gitar/vokal).

Ali berkata, dia dan teman-teman teruja jika lagu mereka diputarkan stesen radio tempatan.

"Kalau ada kesempatan untuk dimainkan lagu-lagu kami di stesen radio, mengapa tidak bukan? Tidak salah rasanya untuk kami mencipta nama di arus perdana dan tidak hanya kekal sebagai band indie semata-mata," katanya.

Ketika ini, kumpulan itu sedang mempromosikan album terbaharu berjudul Selamat Tinggal Pujaan berkonsepkan genre pop klasik.

Kugiran Masdo bakal membuat persembahan di siri ketiga GegaRia di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Februari ini.

Berita Harian X