Ahad, 11 Februari 2018 | 12:44pm
AZMI Caliph Busker. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

'Rasa lain bila nyanyi solo'

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah dua kali beraksi pada Anugerah Juara Lagu (AJL), vokalis Caliph Busker, Azmi Saat, tetap diburu rasa gementar dalam melunaskan tanggungjawabnya pada edisi ke-32 acara berprestij itu, malam ini.

Azmi yang diberi kepercayaan penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, untuk mendendangkan lagu Sejati, mengaku berdebar apatah lagi bakal membuat persembahan solo tanpa ditemani anggota kumpulan lain.

"Saya mengaku lebih tertekan kali ini biarpun sudah ada pengalaman di pentas AJL. Pada edisi ke-29, ketika menyampaikan lagu asal nyanyian Mojo, Romancinta saya tiada pengalaman dan tidak tahu apa yang hendak dijangka.

"Ketika itu, saya hanya membuat persembahan seperti biasa. Rasa gementar pun diatasi dengan keluar dan masuk tandas.

"Kali ini, saya kena nyanyi sebaik mungkin. Kalau ada ahli kumpulan lain, debaran boleh dikongsi dan selalunya kami berlawak sesama sendiri untuk menghilangkan rasa gementar," katanya kepada BH Online.

Pada AJL 29, Caliph Busker mendendangkan lagu Romancinta nyanyian asal Mojo. Setahun kemudian, kumpulan itu tampil dengan lagu Hanya Namamu di pentas sama.

Azmi mengaku suka dengan lagu Sejati ciptaan Faizal dan pernah berduet dengan penyanyi itu dalam sebuah program hiburan.

"Saya pernah mendendangkan lagu Sejati menerusi aplikasi Smule. Mungkin Faizal perasan dan mengajak saya berduet dalam program hiburan itu," katanya yang terkejut dengan tawaran Faizal untuk menyampaikan lagu berkenaan di pentas AJL 32.

Tambah Azmi, saingan malam ini hebat-hebat belaka.

"Saya akan buat sehabis baik. Persaingan kali ini cukup dahsyat. Kalau ditanya siapa yang bakal jadi Juara Lagu, saya tak dapat beri jawapan.

"Namun, bagi kategori vokal terbaik, mungkin Dayang Nurfaizah, Salma, Syamel dan Erni Zakri boleh menang," katanya yang akan menyarung dua persalinan rekaan Amir Kadir, malam ini.

Antara artis yang bakal beraksi di pentas akhir acara anugerah muzik itu adalah Haqiem Rusli, Altimet, Hazama, Hael Hussaini, Ara Johari, Khai Bahar, Salma dan Wany Hasrita.

Berita Harian X