Ahad, 11 Februari 2018 | 9:04am

Sheila On 7 masih 'Pria Terhebat'

KUALA LUMPUR: Aura Sheila On 7 (SO7) cukup kental hingga mampu menarik kehadiran kira-kira 7,000 penonton menyaksikan Konsert SO7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall di sini, malam tadi.

Biarpun kerap bertandang ke negara ini dengan kali terakhir beraksi di lokasi sama, dua tahun lalu, penangan band berasal Yogjakarta, Indonesia itu masih kental.

Tidak hairan, persembahan mega yang turut membariskan lagu baharu termasuk single berjudul Film Favorit bukan sekadar memenuhi cita rasa peminat yang bersama mereka sejak dua dekad lalu, malah setiap seleksi disambut penonton muda berusia belasan tahun.

"Kami gembira diberi peluang kembali ke Malaysia dan terima kasih kepada peminat Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura. Moga kalian semua terhibur dengan persembahan kami," kata vokalisnya, Duta yang muncul tepat jam 9.15 malam.

Selain Duta, SO7 yang turut membariskan Eross, Adam dan Brian terus menghangatkan dewan itu dengan aroma masa lalu apabila bijak membuai jiwa khalayak bersama lagu malar segar mereka.


KONSERT Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim

KONSERT Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim

Bila Kau Tak Disamping Ku, Seberapa Pantas, Dan, Itu Aku, Pemuja Rahsia serta Sephia antara malar segar yang melonjakkan adrenalin ramai hingga masing-masing menyanyi sambil menari tanpa henti.

Sebanyak 17 lagu pilihan seakan tidak cukup untuk memuaskan khalayak apabila terasa sekejap saja masa berlalu apatah lagi banyak lagi seleksi yang tidak disampaikan.

Namun seperti diluahkan vokalisnya sebelum ini, persembahan kali ini diharap mampu menggembirakan peminat selepas ada yang menyatakan mereka kurang berpuas hati pada konsert terakhir SO7 berikutan lagu idaman tidak didendangkan.

Bak kata Duta, konsert itu adalah pengubat kerinduan pengikut tegar SO7 atau disebut sebagai Sheila Gank yang sanggup datang dari serata tempat demi konsert berkenaan.

Sudah pasti persembahan mereka melakar satu lagi kenangan buat band itu. Namun, andai ada cela, ia tidak berbekas dalam sanubari peminat hasil penangan kumpulan yang dianggap sinonim dengan lagu mereka, Pria Terhebat itu.

KONSERT Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim
KONSERT Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim
KONSERT Sheila On 7 Live in Kuala Lumpur 2018 di KWC Mall, Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Salhani Ibrahim
Berita Harian X