Rabu, 7 Februari 2018 | 4:47pm
PENYANYI, Eka Sharif, kini tampil dengan lagu ciptaan Puyu dan Razif Projector Band. - Foto: Nur Adibah Ahmad Izam
EKA Sharif atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffuddin.

Populariti di laman sosial bantu Eka Sharif

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Eka Sharif, mengakui populariti di laman sosial sedikit sebanyak memudahkan beliau mengukir nama dalam industri seni muzik tempatan.

Kata Eka atau nama sebenarnya Nur Atiqah Shariffudin, 28, berdasarkan maklum balas, ramai yang mengetahui kewujudan single pertamanya, Mengenal Cinta, biarpun ia tidak diputarkan di radio.

"Saya anggap, populariti di laman sosial membantu saya mengejar cita-cita sebagai penyanyi. Kita semua tahu, bukan mudah untuk memperkenalkan diri kepada umum, apatah lagi ramai penyanyi hebat ada di luar sana.

"Tambahan pula, kebanyakan pengikut memang sukakan lagu yang saya nyanyikan di Smule dulu. Jadi, apa saja produk baharu, mereka pasti akan sokong," katanya yang memiliki hampir 100,000 pengikut di Instagram.

Terkini, Eka yang juga juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim kesembilan tampil dengan single kedua, Sepenuh Jiwa, ciptaan Puyu dan Razif daripada Projector Band.

Mengenai naskhah terbarunya, Eka memberitahu, asalnya lagu berkenaan dicipta khas untuk kumpulan Projector Band. Namun, ketika beliau menyanyikannya, lagu terbabit kedengaran serasi dengan dirinya.

"Kebetulan, saya juga sedang mencari lagu sesuai untuk dijadikan sebagai single kedua. Alhamdulillah, selepas rakaman dibuat, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya.

"Lebih-lebih lagi, lagu itu menepati selera penggemar muzik daripada golongan muda. Jadi, saya bertambah yakin Sepenuh Jiwa mampu jadi popular, insya-Allah," katanya.

Sejak dilancarkan pada November lalu, video lirik lagu berkenaan meraih lebih 13,400 tontonan di laman YouTube.

62 dibaca
Berita Harian X