Sabtu, 3 Februari 2018 | 11:35am
KUMPULAN XPDC dan Cromok pada sidang media Konsert Metal Legend Cromok XPDC di Maeps. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

XPDC, Cromok bertarung aksi di MAEPS

KUALA LUMPUR: Kumpulan XPDC menyifatkan gabungan bersama band heavy metal, Cromok pada konsert Metal Legends Live In Concert di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), malam ini sebagai hadiah istimewa untuk peminat.

Mengakui kolaborasi mereka sudah lama dinantikan peminat, pemain bass XPDC, Zuar berkata, konsert yang bermula jam 8.30 malam itu menjanjikan persembahan bermakna untuk dikenang penggemar genre muzik itu.

"Buat kali pertama, penonton berpeluang melihat XPDC berentap dengan Cromok di atas satu pentas. Pastinya gabungan ini membuat kami teruja dan tidak sabar lagi untuk beraksi," katanya.

Zuar berkata, XPDC yang turut dianggotai Mael (vokalis), Amy (dram) dan Jeff (gitar) sudah merangka pelbagai kelainan dalam persembahan mereka terutama dari segi pemilihan dan susunan lagu.

Katanya, penonton berpeluang melihat persembahan dram secara solo oleh Amy, selain gandingan Jeff dan Karl dari Cromok mempamerkan kehebatan skil masing-masing memetik gitar. Kedua-dua band itu juga akan bergabung pada penghujung konsert.

Sementara itu, Cromok mengharapkan kemunculan terbaru mereka akan mengubat kerinduan peminat selepas kali terakhir beraksi pada Konsert Reunion 25 Tahun Cromok Thrashing Kuala Lumpur di KL Live, enam tahun lalu.

Selain Karl sebagai pemain gitar, Cromok turut dibarisi Sam (vokalis/bass) dan Miji (dram).

"Sudah lama kami tidak beraksi di pentas besar. Kami berharap konsert ini bukan sahaja mengubat kerinduan peminat, tetapi membawa mereka mengimbau kenangan bersama Cromok," kata Karl.

Apa yang menarik, Cromok bakal membawa tetamu khas dari Australia, Danny Kaleda yang juga pengurus asal kumpulan itu ketika awal penubuhan mereka.

Danny yang juga pemilik label Vampire Records adalah individu penting yang banyak membantu Cromok sehingga mereka dianugerahkan sebagai The Best Heavy Metal Band oleh majalah Hot Metal Megazine Australia di Sydney pada 1990.

Sementara itu, Pengurus Operasi JMP Production Sdn Bhd, Faezatul Asykin Anuar berkata, penonton berpeluang memenangi hadiah gitar Ibanez GRX70QA tajaan Joe Savana Gamma Rock House menerusi cabutan bertuah.

"Penonton turut berpeluang mendapatkan barangan cenderahati Cromok dan XPDC seperti kemeja-T, cakera padat, video cakera padat, pick gitar dan poster," katanya.

Tiket bermula pada harga RM68 boleh didapati dengan melayari laman sesawang: www.ilassoticket.com atau di XPDC Kita Peng Yu Shop (Uptown Kota Damansara) dan XPDC Bundle & Alteration Jeans (Kajang).

Berita Harian X