Sabtu, 27 Januari 2018 | 5:29pm
KILAFAIRY dan DJ Aku Ash bekerjasama menerusi single Put The World In. - Foto Hafiz Sohaimi

Kilafairy 'ok' lagu tidak dipromosi

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Kilafairy, tidak berkecil hati sekalipun artis antarabangsa, Sean Kingston, tak mempromosikan lagu nyanyian mereka, Put The Word In, di laman sosialnya.

Sejak dilancarkan menerusi medium penstriman muzik pada 19 Januari lalu, lagu berkenaan yang turut menampilkan DJ Aku Ash tidak langsung dipromosikan penyanyi Jamaica-Amerika itu.

"Saya tidak melihat perkara itu sesuatu yang perlu diperbesarkan. Saya sebaliknya lebih suka menyerahkan hal terbabit kepada pihak pengurusan.

"Malah, saya tidak terasa hati pun. Saya percaya, pihak pengurusan mempunyai perancangan yang terbaik untuk saya.

"Lagipun, pengurusan juga bakal mengadakan promosi di pihak sana apabila lagu ini diperkenalkan di Amerika Syarikat dalam masa tiga bulan lagi," katanya ketika ditemui BH Online di Bukit Bintang, di sini, sempena aktiviti promosi single terbabit.

Lagu berkenaan dirakamkan mereka sekitar enam bulan lalu di Malaysia.


PENYANYI, Kilafairy (kanan) dan Rene Ashvindra Rao atau DJ Aku Ash ketika menghadiri sidang media lagu mereka, Put The World In, di Pavilion Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi

Karya ciptaan DJ Aku Ash itu kini sudah menembusi bukan saja platform muzik tempatan, malah di luar negara.

"Sejak seminggu dilancarkan, lagu ini berada di tangga keempat Spotify Malaysia dan tangga 30 Spotify Singapura. Malah. ia juga berjaya menembusi iTunes beberapa negara luar seperti Indonesia, Taiwan, Filipina dan Belgium," katanya.

Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi berpengalaman, Rohana Jalil, berkata penghasilan lagi terbabit menjadi antara pencapaian besar buat dirinya.

"Ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Saya harap, ia juga dapat menjadi batu loncatan untuk saya terus terbang lebih tinggi selepas ini," kata pelakon filem Karak itu.

Ditanya mengenai pengalaman bekerjasama dengan Kingston, dia mengaku amat menyenangi artis yang mula mencipta nama pada usia muda itu.

"Biarpun baru sekali kami berjumpa dan bekerjasama, apa yang boleh dikatakan, dia sangat merendah diri. Ketika di studio rakaman, dia menunjukkan tenaga positif, sekali gus membuatkan kami jadi selesa.

"Memang senang bekerjasama dengannya. Dia penyanyi terkenal yang tak banyak 'songeh'," katanya yang sebelum ini terbabit dengan projek khas menyanyikan runut bunyi filem popular antarabangsa, Dilwale, versi Melayu berjudul Warna Cinta.

Berita Harian X