Ahad, 21 Januari 2018 | 9:09pm
ANAK sulung pasangan pelakon, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah, Harum Dahlia.

Ezzaty, Azwan tunai janji tayang wajah anak

KUALA LUMPUR: Mengotakan janji untuk berkongsi wajah anak sulung, pasangan pelakon, Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah, memuat naik gambar puteri mereka, Harum Dahlia, di laman Instagram, hari ini.

Ezzaty ketika dihubungi berkata, dia dan suami memang berhasrat berkongsi gambar anak untuk tatapan umum selepas habis tempoh berpantang.

"Hari ini pun sudah 46 hari saya berpantang. Jadi seperti dijanjikan, kami kongsi gambarnya. Sebelum ini, mendengar dengan nasihat keluarga, saya dan Azwan memilih untuk tidak terlebih dulu menunjukkan mukanya.

"Nama si kecil juga kami umumkan pada hari ketujuh kelahirannya," kata pelakon Hello Mr Prefect itu.

Ditanya mengenai keadaannya, Ezzaty, 27, berkata beliau akan menyambung proses berpantang sehingga genap 100 hari.

"Saya juga masih mengamalkan mandi herba pada setiap hari. Selain itu, saya tetap mengenakan sarung kaki sehingga ke hari ini," katanya.

Bercerita mengenai nama indah yang diberikan kepada si kecil, Ezzaty berkata, bunga itu menjadi simbolik buat puteri kesayangan mereka.

"Saya sendiri sukakan bunga dahlia yang cantik dipandang," katanya.

Harum Dahlia dilahirkan secara normal pada 6 Disember lalu di Hospital Pusrawi, di sini, dengan berat 2.9 kilogram.

Ezzaty dan Azwan mendirikan rumah tangga pada Julai 2016.

Berita Harian X