Selasa, 16 Januari 2018 | 10:45pm
PELAWAK, Abam (Bocey). - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
ABAM mendapat tempat kedua pada Super Spontan Superstar 2016. - Foto Saifullizan Tamadi
ABAM (tengah) bersama Mark Adam (kiri) dan Issey membuat persembahan pada Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Zunnur Al Shafiq

Abam mahu berlakon watak aksi

KUALA LUMPUR: Pelawak, Abam (Bocey), 29, mengakui selain menjadi lebih sihat, sebab utama beliau ingin menurunkan berat badan adalah kerana keinginannya untuk terbabit dalam drama atau filem bercorak aksi.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan berkata, impian itu sudah lama disimpan, namun beliau sedar, saiz tubuh badannya sekarang pasti tidak mengizinkan dirinya ditawarkan watak atau karya sebegitu.

"Tahun 2018 ini, saya mahu menukar profesyen. Masih sebagai pelawak, tetapi mahu juga digelar pelakon aksi.

"Sudah lama saya teringin melakonkan karya aksi, tetapi dengan saiz badan yang besar, agak terbatas untuk saya 'bergaduh' atau melompat," katanya.

Abam berkata, hatinya benar-benar terbuka untuk menurunkan berat badan selepas teman karib beliau menasihatkannya untuk berbuat demikian demi menjaga kesihatan.

Apatah lagi melihat ramai rakan kepada teman karibnya itu meninggal dunia akibat masalah obesiti, Abam dinasihatkan lebih menjaga kesihatan diri sebelum terlambat.


ABAM dinobatkan Artis Komedi Popular, pada malam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUMPULAN Bocey yang dianggotai (dari kiri) Achey, Abam dan Fad, menunjukkan trofi yang dimenangi selepas dinobatkan juara Maharaja Lawak Mega 2016. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Dalam pada itu, Abam berkata, isteri yang baru dinikahinya pada 8 Disember tahun lalu, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 27, turut memberi sokongan kepada dirinya dengan menjaga pemakanan beliau.

Katanya, pada mulanya, Nurhidayah seperti tidak yakin dengan azam baharunya sehinggalah wanita itu melihat beliau bersungguh-sungguh dalam menjaga pemakanannya.

"Kadang-kadang isteri ketawa kerana dia tak yakin. Lebih-lebih lagi apabila dia masak, saya perlulah makan. Sekarang, dialah perangsang utama saya untuk lebih kurus.

"Memandangkan saya elak makan malam, jika isteri masak, saya akan minta dia simpan dan memastikan untuk makan pada keesokan hari.

"Dia juga sudah mengurangkan minyak dalam masakannya. Sosej pun dimasak tanpa minyak, menggunakan kuali yang tidak melekat.

"Apa pun, untuk fasa pertama ini, saya akan berhenti makan sebelum jam 7 malam. Dua bulan lalu, berat saya 198 kilogram. Saya tahu bukan mudah nak turun, tetapi biarlah ia dilakukan sedikit demi sedikit," katanya.


ABAM (kanan) bersama isteri, Siti Norhidayah Mohd Ali selepas akad nikah di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Disember lalu. - Foto Faiz Anuar

Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan berumahtangga, Abam mengakui cukup bahagia di samping isteri dan berterima kasih kepada ibunya kerana memilih wanita terbaik.

Abam yang pernah meraih trofi Artis Komedi Lelaki Popular dan Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014 serta 2015 itu menyifatkan, pilihan ibu pastinya lebih memberi keberkatan dalam rumah tangga yang dibina.

"Alhamdulillah, saya bahagia, apatah lagi mempunyai isteri sebagai kekuatan ketika susah dan senang.

"Sebelum ini, saya sering meluahkan rasa sedih pada ibu saya. Apabila sudah berkahwin, dengan isteri pula saya kongsi suka dan duka. Menariknya, ada saja gelagat isteri yang buatkan saya terhibur," ujarnya.


ABAM ingin menurunkan berat badan kerana mahu terbabit dalam drama atau filem bercorak aksi. - Foto Nurul Shafina Jemenon

INFO

  • Dilahirkan dengan nama Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan pada 19 November 1988.
  • Berasal dari Gombak, Selangor.
  • Mula dikenali selepas menyertai program Bintang Mencari Bintang musim pertama (2013) dan muncul sebagai naib juara menerusi kumpulan Bocik.
Berita Harian X