Isnin, 8 Januari 2018 | 8:35am
Penyanyi, iR Radzi. - Foto Mahzir Mat Isa

Ir Radzi masuk 'U' promosi album

KUALA LUMPUR: Pada era digital yang penuh persaingan, bermacam-macam cara dilakukan penyanyi untuk mempromosikan single atau karya terbaharu mereka.

Ada yang menganjurkan showcase, ada juga yang sanggup mencipta gimik sebagai pelaris produk.

Bagi Ir Radzi yang muncul dengan album sulung berjudul Sempurna, kunjungan ke pusat pengajian tinggi (IPT) atau universiti tempatan menjadi agenda penting dalam rangka promosi buah tangan terbaharunya.

Ir Radzi atau nama sebenarnya, Mohamad Shah Riadzi Jamali, 34, berkata pengalaman membuat persembahan pentas menemukannya dengan kelompok pendengar muzik muda.

Mereka yang memberi sokongan sejak beliau bergelar penyanyi rakaman, empat tahun lalu.

"Saya hargai setiap sokongan peminat tidak kira muda atau berusia. Jadi, selain promosi di lokasi kunjungan keluarga, saya meletakkan IPT antara destinasi persinggahan jelajah.

"Perancangan mengenai perkara ini sudah diperincikan bersama pasukan pengurusan saya. Selain bertemu dan mendapatkan maklum balas, sudah pasti persembahan pentas juga menjadi antara pengisi acara," katanya kepada BH Online.

Beliau mengakui selain menjual lagunya secara maya, penghasilan produk fizikal atau cakera padat turut diberi keutamaan.

"Ramai yang bertanya mengapa saya masih mahu jual album fizikal sedangkan suasana sudah berubah. Bagi saya, ia sesuatu yang sangat sentimental dan sudah menjadi niat saya sejak dulu.

"Pada mulanya, syarikat hanya mengeluarkan 100 unit edisi terhad album saya. Namun, sebaik dilancarkan minggu lalu, kami menerima banyak tempahan.

"Hingga hari ini masih ada yang bertanya," katanya yang sebelum ini popular dengan lagu Sempurna Waktu.

Antara lagu yang terkandung dalam album baharu Ir Radzi itu adalah Kontra Analisa, Stay, Tell Me Why, Sempurna Waktu, Maafkan Aku, Bujang Duda, Berikan Masa dan Cinta Terakhir.

Lagu Cinta Terakhir didedikasikan khas buat arwah bapanya, Jamali Ellen, 61.

29 dibaca
Berita Harian X