Jumaat, 5 Januari 2018 | 6:37pm
DARI kiri, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim bersama anggota Sheila On 7, Adam (tengah) dan Eross (kanan) pada sidang media mengumumkan konsert kumpulan dari Indonesia itu di ibu negara. - Foto Amirudin Sahib
ANGGOTA Sheila On 7, Adam (kanan) dan Eross (kiri) pada sidang media mengumumkan konsert kumpulan dari Indonesia itu di ibu negara. - Foto Amirudin Sahib

SO7 perkenal lagu baharu di KL

KUALA LUMPUR: Peminat yang menyaksikan Konsert Sheila On 7 (SO7) - Live In Kuala Lumpur pada 10 Februari depan, bakal menjadi antara orang pertama yang mendengar single terbaharu daripada kumpulan terkenal Indonesia itu.

Pemain gitar kumpulan terbabit, Eross Candra, berkata lagu berjudul Film Favorit itu adalah single pertama mereka selepas kali terakhir muncul dengan album penuh kira-kira empat tahun lalu.

"Lagu itu sangat bermakna buat kami kerana liriknya mengajak pendengar untuk bersikap positif. Kalau kita lihat, remaja sekarang tidak kental jiwanya dan mudah mengalah.

"Justeru, lagu ini menggesa mereka supaya mencuba terlebih dulu sebelum menyerah kalah atau berputus asa," katanya ketika ditemui pada sidang media di ibu negara, petang tadi.

Yang turut hadir, pemain bes kumpulan itu, Adam Muhammad Subarkah dan Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd, Shirazdeen Karim.

Vokalis kumpulan yang terkenal dengan lagu Berhenti Berharap itu, Duta atau Akhdiyat Duta Modjo dan seorang lagi anggotanya, Brian Kresna Putro (dram), tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen lain.

Mengulas persembahan pada konsert itu nanti, Eross berkata, mereka juga akan membuat kepelbagaian dalam pemilihan lagu.

"Sebelum ini, setiap kali kami mengadakan persembahan, ramai yang akan bertanya mengapa kami tidak menyanyikan lagu itu atau lagu ini.

"Tidak mahu menghampakan mereka, selain yang popular, kami juga akan menyanyikan lagu yang jarang disampaikan sebelum ini," katanya.

Konsert yang bakal diadakan di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, di ibu kota itu akan menyaksikan kumpulan berkenaan mendendangkan 20 lagu, antaranya Sephia, Dan, Seberapa Pantas, Melompat Lebih Tinggi dan Pria Kesepian.

Tiket berharga antara RM85 hingga RM315 kini boleh didapati di www.myticket.asia. Sehingga kini, sebanyak 2,000 tiket sudah disambar peminat.

Berita Harian X