Khamis, 4 Januari 2018 | 1:23pm
PELAKON, Rita Rudaini. - Foto Aziah Azmee

Bukan ada orang 'bela' saya - Rita Rudaini

KUALA LUMPUR: Sesi persekolahan yang bermula menuntut ibu tunggal, Rita Rudaini memberi perhatian kepada dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin yang memasuki Tahun Tiga dan adiknya, Airit Qaqa Arjuna yang memulakan pembelajaran Tahun Satu.

Aktres kelahiran Utan Aji, Perlis, itu memberitahu, dia mengambil cuti dua minggu untuk menguruskan persekolahan Rayyan dan Arjuna.

"Bukan senang jadi ibu tunggal. Saya kena kerja lebih untuk membahagiakan anak-anak, termasuk mengatur perbelanjaan sekolah mereka.

"Jauh lagi perjalanan ini. Iyalah, saya bukan ada orang 'bela'. Saya sendirian menanggung dan membela anak.

"Tapi, alhamdulillah, rezeki anak ada saja. Cukup makan dan pakai untuk kami anak beranak, saya sudah bersyukur," katanya kepada BH Online.

Rita mengaku lega apabila Arjuna yang memulakan persekolahan Tahun Satu, mula menunjukkan sikap berdikari.

"Arjuna suruh saya balik rumah dan tak perlu menunggunya di sekolah. Dia memang tampak berdikari.

"Namun, saya tetap tunggu sebab sudah mengambil cuti bagi meluangkan masa dengan anak," katanya.

Rita berkata, detik ini sangat bermakna buat hidupnya.

"Masa beginilah paling bernilai kerana dapat tengok mereka membesar depan mata. Maklumlah, saya tak ada pembantu rumah mahupun pembantu peribadi," katanya.

Tambah Rita lagi, dia tak ralat melakukan semua kerja termasuk menguruskan anak sendiri.

"Saya memang jenis yang 'mak-mak' sikit. Hendak semua diuruskan di depan mata. Alhamdulillah, semua masih terkawal. Saya akan beri yang terbaik untuk mereka. Rayyan dan Arjuna adalah 'syurga' saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rita memulakan tugas sebagai pengacara program WOW Sangat yang disiarkan TV9 setiap Ahad.

Rita memberitahu, dia sedia melangkah ke dunia pengacaraan selepas mendapat keyakinan ketika diberi peluang mengendalikan malam kemuncak Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.

Berita Harian X