Isnin, 1 Januari 2018 | 8:15pm
WANY membuat persembahan pada Konsert Soundtrack Ippo Hafiz 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. - Foto Aizuddin Saad

Wany mahu belajar ke peringkat sarjana

KUALA LUMPUR: Meskipun berjaya mencipta nama dalam bidang seni suara dan memikat hati ramai peminat, Wany Hasrita menegaskan dia tidak pernah melupakan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan daripada Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) ini berkata, dia tetap akan memastikan niatnya itu disempurnakan dan berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, satu hari nanti.

"Saya tidak pernah lupa hasrat untuk sambung pelajaran, cuma pada masa ini rezeki saya cukup murah dan jadual pula penuh dengan undangan nyanyian.

"Saya percaya, ini masa yang sesuai untuk saya mencari rezeki dan menyimpan wang bagi menyempurnakan niat menyambung pengajian," katanya kepada BH Plus.

Bakat dari ibu kota ini berkata, dia bersyukur apabila percubaan menerusi single sulungnya, Menahan Rindu, meninggalkan kesan besar sehingga meletakkan dirinya sebaris dengan bintang terkenal lain di arena seni tempatan.


WANY tidak pernah melupakan impian untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Baginya, dia antara bakat baharu yang cukup bertuah apabila berupaya menempa nama dalam masa singkat.

"Apapun, mak saya selalu berpesan agar tidak mudah larut dalam arus populariti dan perlu saling beringat kerana kita tidak akan selamanya berada di atas.

"Selain menjaga nama baik keluarga, mak berpesan agar saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dan jangan sekali-kali mempersiakan sokongan peminat," katanya.

Wany, 25, turut berkongsi impiannya mahu membelikan ibunya sebuah rumah pada 2018 sebagai hadiah atas pengorbanan wanita itu membesarkan dirinya.

"Saya dibesarkan oleh mak dan dia adalah segala-galanya dalam hidup saya. Pastinya saya mahu memberikan yang terbaik buat mak. Saya juga percaya, doa mak memberikan keberkatan dalam hidup saya," katanya yang menyambut ulang tahun kelahirannya pada 25 Disember lalu.

Wany berkata, perancangan untuk membeli rumah itu sedang dilakukan dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.


WANY berkongsi impian mahu membelikan ibunya sebuah rumah sebagai hadiah atas pengorbanan wanita itu membesarkan dirinya. - Foto Aziah Azmee

PENYANYI, Wany Hasrita. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Dia yang turut popular menerusi lagu Di Sana Cinta Di Sini Rindu, iaitu duetnya bersama Tajul, turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan kelab peminatnya, Wanyhasnizers, yang sentiasa berada di sisi tatkala susah dan senang serta setia menyokong kerjaya seninya.

"Saya tidak sangka ada yang datang dari Indonesia, Singapura dan Brunei semata-mata mahu meraikan saya, tempoh hari. Terima kasih saya ucapkan buat mereka semua dan teruslah bersama saya," katanya.

INFO

  • Nama sebenarnya ialah Nurshazwany Hasrita Hasbullah.
  • Selepas Menahan Rindu, Wany tampil dengan single solo kedua, Rintihan Rindu. Kedua-duanya adalah ciptaan Ibnu & Gouffran.
  • Hingga kini, video muzik Menahan Rindu berjaya mencatat hampir 29 juta tontonan di laman YouTube.
  • Bakal bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-32 menerusi lagu Menahan Rindu pada Februari depan.
Berita Harian X