Selasa, 26 Disember 2017 | 1:25pm
KUMPULAN Sheila On 7 bakal menghiburkan peminat di Kuala Lumpur, Februari depan.

Sheila On 7 kembali hibur peminat di KL

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kumpulan dari Indonesia yang pernah mencipta nama di negara ini lebih sedekad lalu, Sheila On 7, bakal menghiburkan peminat mereka di ibu kota pada 10 Februari depan.

Konsert diberi nama Sheila On 7 - Live In Kuala Lumpur 2018 itu akan berlangsung di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, bermula jam 8.30 malam.

Kumpulan yang dianggotai oleh Duta, Brian, Eros dan Adam pernah mengadakan konsert di lokasi sama, dua tahun lalu.

Konsert ini adalah sempena dua dekad penubuhan dan pembabitan mereka dalam dunia muzik.

Menurut kenyataan dikirimkan kepada BH Online, kali ini, konsert Sheila On 7 - Live In Kuala Lumpur dianjurkan oleh No Fear Sdn Bhd & Shiraz Projects Sdn Bhd dengan matlamat meraikan sokongan besar diberikan peminat Malaysia dan negara serantau terhadap kumpulan terbabit.

Tiket menyaksikan konsert terbabit dijual pada harga RM315 (Meet & Greet), RM215 (Diamond), RM165 (Platinum), RM125 (Gold) dan RM85 (silver). Ia mula dijual 21 Disember lalu.

Bagi 250 pembeli tiket pertama (tidak termasuk Meet & Greet), layak menerima potongan harga sebanyak 15 peratus.

Mereka yang mendapatkan tiket Meet & Greet pula, mereka berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan anggota Sheila On 7 selain menerima barangan percuma.

Berita Harian X