Isnin, 25 Disember 2017 | 10:09am

Saya, Hafeez boleh berbual berjam-jam - Daiyan Trisha

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha nafi sengaja mencetuskan gosip bercinta dengan teman gandingannya dalam Busker, Hafeez Mikail sebagai strategi mempromosikan filem itu.

Daiyan atau nama penuhnya, Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 24, berkata mereka akrab sejak menjalani penggambaran filem berkenaan, tahun lalu.

“Kami memang selalu keluar bersama. Hubungan baik ini bukan baharu. Sejak mula mengikuti sesi bacaan skrip dan kemudian ‘berkampung’ di Johor selama hampir sebulan, kami terus serasi.

“Boleh dikatakan persahabatan kami terjalin dengan erat selepas penggambaran Busker berakhir apabila saling berhubung. Malah, kami kerap berkongsi cerita.

“Hafeez juga suka muzik dan kami memang ‘sekepala’. Banyak perkara kami boleh bualkan sampai berjam-jam,” katanya yang memegang watak gadis kolej bernama Vera dalam filem terbitan Astro Shaw itu.

Mengakui teruja diberi peluang beraksi di layar perak buat julung kali, Daiyan mengaku pengorbanan ‘berehat’ daripada dunia lakonan seketika berbaloi apabila mendapat kepercayaan produksi.

“Sebenarnya, saya rindu kembali ke set. Tetapi ketika itu, saya perlu menumpukan perhatian terhadap pengajian, latihan amali dan nyanyian.

“Jadi, apabila dimaklumkan saya mendapat watak Vera selepas saringan uji bakat, saya bersyukur. Apatah lagi, ini lakonan pertama saya dalam layar lebar,” katanya.

Gadis bertubuh kecil molek yang turut berkebolehan mencipta lagu itu bakal menerima ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), tidak lama lagi.

Antara lagu popular Daiyan adalah Kerana Kau, Jatuh dan Kau Tahu selain menghasilkan lagu Inggeris seperti Stargazing dan Boy My Dream.

Berita Harian X