Sabtu, 23 Disember 2017 | 11:16pm
HAFEEZ Mikail. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
HAFEEZ Mikail. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Peminat salah sangka Hafeez Mikail jadi penyanyi jalanan

PETALING JAYA: Pelakon baharu, Hafeez Mikail, 25, mengakui ada peminat menyangka dia terdesak memerlukan wang kerana tiada tawaran berlakon selepas melihatnya menjadi penghibur jalanan, tahun lalu.

Katanya, percubaan sebagai penyanyi jalanan di beberapa lokasi utama di ibu negara termasuk Bukit Bintang adalah sebagai persediaan sebelum ke lokasi filem Busker dan bukan kerana tidak lagi menerima tawaran berlakon.

"Persembahan itu saya lakukan atas inisiatif sendiri tanpa pengetahuan pengarah dan produksi Astro Shaw untuk menyelami dunia penghibur jalanan. Berpindah dari satu kaki lima ke kaki lima lain membolehkan saya meraih pengalaman baharu yang dapat saya terapkan untuk watak Adil dan kumpulannya, Simfoni Dalam Poket.

"Memang seronok apabila ramai yang terhibur, malah ada yang mengenali saya sebagai pelakon. Mereka sangka saya sudah tidak lagi berlakon hingga terpaksa menjadi pemuzik jalanan," katanya ketika ditemui selepas tayangan filem arahan Syed Khairul Fariz, kelmarin.

Menerusi filem yang bakal menjengah 70 pawagam seluruh negara bermula 11 Januari depan, Hafeez bergandingan dengan Daiyan Trisha, Anas Ridzuan, Bulan, Nia Natalia dan Mas Khan.

Mengenai wataknya, Hafeez berkata, peluang itu umpama bulan jatuh ke riba kerana bidang nyanyian dan muzik turut menjadi kegemarannya. Bekas pramugara itu turut berpeluang belajar bermain gitar di bawah bimbingan MonoloQue yang juga pengarah muzik filem terbabit.

"Saya bertuah dapat belajar banyak perkara sepanjang penggambaran filem itu, terutama dapat menimba ilmu daripada MonoloQue. Bukan hanya menyanyi, saya dapat mengenali kod, hala tuju muzik dan gaya persembahan.

"Menjadi Adil juga tak mudah kerana saya mahu penonton nampak dirinya sebagai pemuzik bebas yang semula jadi. Saya sanggup belajar bermain gitar sampai jari bengkak supaya persembahan saya menjadi.

"Demi watak ini, saya sanggup pekakkan telinga daripada mendengar muzik R&B dan jazz yang menjadi kegemaran saya selama ini. Pilihan lagu dalam telefon bimbit saya juga semakin penuh warna," katanya.

Berita Harian X