Jumaat, 22 Disember 2017 | 11:17am
PELAKON Shah Iskandar - Foto Rohanis Abdul Shukri

Shah Iskandar puas jadi jahat

KUALA LUMPUR: Ketika kebanyakan pelakon berusaha keras mencari ruang membawa watak utama, Shah Iskandar yang masih berpengaruh menarik penonton pula mempunyai misi berbeza.

Pelakon kelahiran Singapura itu berkata, dia lebih puas membawa watak pembantu terutama karakter antagonis kerana ia memberinya ruang mewarnai lakonan.

Ia terbukti apabila watak jahat sebagai Haikal dalam drama bersiri, Dendam Aurora yang selesai tayangannya, baru-baru ini menerima pujian ramai.

"Siapa yang tidak mahu membawa watak utama? Jika ditawarkan, pasti saya tidak menolak kerana mahu melihat sejauh mana kemampuan lakonan saya menarik penonton. Cuma, selepas lama berlakon, saya mula tercari-cari arah untuk mempelbagaikan karakter.

"Apabila kerap diserahkan watak antagonis, saya sedar permainan karakter itu sebenarnya lebih menarik dan sarat warna. Saya juga diberi lebih kebebasan mencorakkan karakter itu. Mungkin kerana sudah terbiasa, saya selesa membawa karakter jahat.

"Saya sedar wajah dan susuk tubuh saya tidak mempunyai ciri yang dicari untuk membawa watak utama. Tetapi jika diberi kepercayaan, saya pasti akan menggalas amanah itu dengan cara tersendiri," katanya yang membina nama sejak 2009.

Pernah dua kali dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 dan 2014, Shah menyifatkan perkembangan kerjaya lakonannya semakin stabil sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Nama saya tidak terlalu melonjak, tetapi tawaran berlakon berterusan diterima. Alhamdulillah, selepas mendirikan rumah tangga, rezeki saya semakin murah. Saya berbangga apabila pengarah semakin mempercayai bakat.

"Saya berpuas hati dengan karakter Haikal yang penuh dengan warna. Biarpun membawa watak pembantu, karakter yang ditawarkan cukup mencabar dan menguji kreativiti saya di lokasi penggambaran.

"Sebagai pelakon, kepuasan seperti ini yang saya cari. Selain Dendam Aurora, saya juga puas membintangi drama Syurga Tak Sempurna bergandingan dengan Raja Ilya dan Uqasha Senrose. Drama yang disiarkan menerusi HyppTV itu turut mendapat sambutan hebat dan dijangka disambung untuk musim kedua," katanya.

21 dibaca
Berita Harian X