Selasa, 19 Disember 2017 | 10:22am

Cipta lagu untuk Liza Hanim


HAFIZ Hamidun (kanan) menghasilkan lagu untuk Liza Hanim. - Foto NSTP

TAIPEI: Penyanyi dan komposer terkenal, Hafiz Hamidun, menutup musim 2017 dengan menghasilkan lagu untuk naib juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Liza Hanim.

Sepanjang tahun ini, penyanyi Zikir Terapi itu mencipta lagu untuk beberapa artis terkenal termasuk Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Haida GV4, Anis Al Idrus, Bob Yusof, kumpulan Mirwana dan penyanyi baharu, Adly Sofwan.

"Saya cukup gembira apabila Liza menyatakan persetujuannya untuk merakamkan lagu ciptaan saya. Saya berasakan ia antara langkah terbaik untuknya melakukan 'comeback' dalam bidang seni.

"Sebenarnya, sudah lama juga saya hasilkan lagu ini, iaitu sebelum Aidiladha yang lalu. Liriknya pula ditulis oleh personaliti televisyen dikenali ramai, Fedtri Yahya," katanya sambil memaklumkan, karya terbabit belum lagi berjudul.

Hafiz yang juga ahli perniagaan berkata, buat waktu ini, beliau menunggu waktu yang sesuai untuk Liza memasuki studio rakaman, selepas perjuangannya dalam program pertandingan nyanyian itu berakhir.

Berasakan lagu balada berkenaan sesuai dengan suara merdu milik penyanyi terbabit, Hafiz turut menyatakan kegembiraannya apabila Liza berjaya mendapat tempat kedua pada konsert akhir GV4, Ahad lalu.

Hafiz kini berada di Taiwan, bersama-sama bakat baharu, Andi Bernadee, dan pelakon yang juga penyanyi, Bella Nazari, bagi mempromosikan percutian halal di negara ini. Mereka dijadualkan kembali ke tanah air, esok.


HAFIZ Hamidun (kiri) bersama-sama Andi Bernadee dan Bella Nazari ketika mengunjungi Taipei Palace Museum.

"Ketika kali pertama datang ke sini, waktu itu saya menjalani penggambaran program Romantika Astro, bersama-sama bekas isteri.

"Peluang itu juga saya ambil untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi percutian dan pihak hotel," katanya yang akan ke Vietnam pula tidak lama lagi, atas urusan perniagaan.

17 dibaca
Berita Harian X