Ahad, 17 Disember 2017 | 3:39pm
ZUA (kanan) bersama-sama Jeff dan Amy (tengah) pada sidang media konsert Mental Legends Cromok - XPDC Live in Concert yang akan berlangsung di Serdang, Februari ini. - Foto: Nurul Shafina Jemenon

Sampai bila? - Zua XPDC

KUALA LUMPUR: Pemain bes XPDC, Zua, berharap situasi tegang membabitkan beberapa anggota kumpulan berkenaan dapat diredakan suatu hari nanti.

Zua atau nama sebenarnya Azuar Md Tasi, 51, berkata, persahabatan antara anggota kumpulan rock terbabit sudah berusia hampir tiga dekad. Jadi beliau tentu saja ingin melihat ikatan terbabit kembali terjalin.

"Kami mungkin tidak bersatu sekarang, namun siapa tahu esok atau lusa kami dapat bersama semula demi persahabatan, apatah lagi hubungan kami sudah seperti adik-beradik.

"Lagipun, usia kami sendiri semakin bertambah dan sebagai rakan, tentu saja saya ingin ukhuwah itu kembali macam dulu. Sampai bila mahu bertegang leher?" katanya yang juga anggota asal XPDC.

Kira-kira dua tahun lalu, perselisihan faham yang tercetus antara beberapa anggota kumpulan terbabit menyebabkan dua XPDC berbeza, kini bergerak aktif di arena seni.

Zua, Mael (vokalis), Amy (dram) dan Jeff (gitar) berada dalam sebuah kumpulan manakala XPDC satu lagi dibarisi Izo selaku pemain gitar, Ali (vokalis), Eddie (bes), Arif (gitar) dan Lola (dram).

Sebelum ini, Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia menyelesaikan konflik penggunaan nama XPDC oleh dua anggota berasingan kumpulan itu, namun dengan syarat tertentu.

Pada masa sama, Zua yang mewakili kumpulannya mahu lebih positif dalam mendepani kemelut membabitkan kedua-dua kumpulan apabila menganggap ia sebagai bentuk promosi.

"Situasi sebegini menjadi kronik apabila peminat sebenarnya yang bergaduh sesama sendiri. Bagi saya sendiri, buruk atau baik, ia hakikatnya satu bentuk promosi untuk XPDC," katanya selepas majlis pengumuman Metal Legends Live In Concert di sini.

Menerusi konsert mega yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang, pada 3 Februari 2018 itu, kumpulan rock terbabit buat julung kali bakal berkongsi pentas dengan Cromok.

Menganggap peluang beraksi dengan kumpulan legenda berkenaan sebagai penghormatan besar, konsert selama tiga jam itu bakal menyaksikan masing-masing mempersembahkan lebih 15 lagu.

Berita Harian X