Khamis, 14 Disember 2017 | 6:02pm
ALLAHYARHAM Latiff atau nama sebenarnya, Abdul Latiff T K Gomu Kakah.

Latiff Borgiba meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran yang terkenal dengan watak antagonis, Latiff Borgiba, 80, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Setapak di sini, kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Allahyarham Latiff atau nama sebenarnya, Abdul Latiff T K Gomu Kakah meninggalkan seorang isteri dan 13 anak.

Pemergian Latiff disahkan isterinya, Fatimah Leman ketika dihubungi BH Online, sebentar tadi.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota di sini, pada jam 10 malam ini.

Latiff yang mula menceburi dunia lakonan sejak era 1960-an, masih aktif berlakon sehingga beberapa tahun lalu.

Nama Borgiba diberi pelakon dan pengarah, Allahyarham S Kadarisman.

Watak antagonis dengan imej misai tebal dan lakonan mantap membuatkan penonton mengingati setiap filem atau drama yang dilakonkan Latiff.

Pada Disember 2014, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu tidak sihat.

Latiff dilahirkan di Bangkok, Thailand dan berhijrah bersama keluarga ke Kuala Lumpur pada 1946.

Berita Harian X