Khamis, 14 Disember 2017 | 5:18pm
SHAH Iskandar ketika menghadiri acara Tonton Rated Xtra Party di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon.
RAJA Ilya dan Shah Iskandar berlakon bersama dalam drama Syurgaku Tak Sempurna.

'Belum ada rezeki timang anak'

KUALA LUMPUR: Dua tahun mendirikan rumah tangga, pelakon Shah Iskandar bersikap terbuka dan menyerahkan kepada rezeki untuk menimang cahaya mata.

Pelakon Dendam Aurora itu enggan terlalu merancang dalam soal berkenaan, sebaliknya bersedia untuk menjadi bapa pada bila-bila masa.

Aktor kelahiran Singapura berusia 34 tahun itu berkahwin dengan pilihan hatinya, Siti Sarah Mohd Noor, 31, pada Januari 2016.

"Kami belum ada rezeki menimang anak. Bagaimanapun, hubungan kami suami isteri sangat baik. Masing-masing mula memahami kerjaya yang diceburi oleh kami.

"Isteri saya juga cukup memahami andainya saya terikat dengan jadual penggambaran, dari awal pagi hingga ke larut malam. Begitu juga dengan saya yang sudah dapat mengikut rentaknya sebagai peniaga.

"Dulu saya silap apabila menyebut mengenai perancangan untuk memiliki anak pada sekian masa.

"Selepas ini, saya tidak perlu lagi berbuat begitu. Biarlah rezeki untuk kami menjadi ibu dan bapa datang dengan sendirinya. Saya dan isteri reda dengan apa yang ditentukan oleh Yang Maha Kuasa," kata Shah.

Pelakon ini juga sudah mula berjinak-jinak membantu sektor perniagaan diusahakan isterinya.

"Saya ada membantu isteri mengadakan penyelidikan, termasuk hal penjualan dan pemasaran. Malah, saya banyak belajar selok-belok berniaga daripadanya," katanya.

Dalam pada itu, Shah menyifatkan 2016 dan 2017 sebagai tempoh stabil bagi kerjaya seninya.

"Saya tidak berani nak mengatakan diri ini meletup dalam dunia lakonan. Sebaliknya, saya lebih suka mengkelaskan ia sebagai stabil.

"Alhamdulillah, mungkin rezeki kahwin kerana tawaran berlakon yang diterima tidak putus sampai sekarang. Mana tahu kalau dapat anak pula pada masa depan, nama saya akan terus melonjak?" katanya.

Shah turut meluahkan kepuasan dapat berlakon dalam Dendam Aurora.

"Saya sangat berpuas hati dengan karakter yang dilakonkan dalam drama panjang berkenaan. Pada mulanya, saya ingat watak itu bersifat antagonis semata-mata.

"Namun, watak Haikal sebenarnya sangat berwarna. Mudah-mudahan, pada masa mendatang saya akan terus diberi kepercayaan membawakan watak sedemikian.

"Sebelum Dendam Aurora, saya diberikan peranan utama dalam drama Syurgaku Tak Sempurna, di sisi Raja Ilya dan Uqasha Senrose. Drama itu juga mendapat sambutan ramai dan dijangka mempunyai musim keduanya tidak lama lagi," katanya.

62 dibaca
Berita Harian X