Rabu, 13 Disember 2017 | 4:39pm
VIDEO muzik lagu Pematah Hati dendangan Nabila Razali menduduki tangga pertama carta Trending YouTube Malaysia.

Lagu gimik cinta trending di YouTube

KUALA LUMPUR: Mencapai lebih lima juta tontonan, video muzik lagu Pematah Hati dendangan Nabila Razali menduduki tangga pertama carta Trending YouTube Malaysia.

Nabila tidak menyangka video muzik menampilkan pelakon Aedy Ashraf yang digambarkan sebagai kekasihnya, mendapat sambutan baik peminat.

"Ketika ada yang mengecam gimik cinta saya dengan Aedy dalam video muzik itu, ia memberi rahmat tersendiri.

"Ini melonjakkan semangat untuk saya memberi yang terbaik pada masa depan. Malah, tanda pagar #cumi atau maksudnya cuba 'misscall' menjadi tular selepas ramai yang memuat naik video muzik itu di laman sosial," katanya kepada BH Online.

Selepas dua hari dilancarkan pada 29 November lalu, video muzik Pematah Hati menarik sejuta tontonan gara-gara gimik Nabila dan Aedy sedang bercinta dalam klip berkenaan.

Berikutan itu, Nabila yang juga pelakon, dikecam selepas mengaku apa yang dipaparkan adalah gimik. Namun, tidak kurang juga yang memuji langkah diambil Nabila bagi melariskan single ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong itu dalam pasaran yang penuh persaingan sekarang.

Nabila yang membintangi drama Matahari Cerah Lagi sekali lagi menjelaskan, dia dan Aedy tidak menjalin hubungan istimewa.

"Semua yang dipaparkan hanyalah lakonan dan peminat tidak perlu risau mengenai perkara itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai video muzik Pematah Hati, Nabila berkata, ia diarahkan dua pemuda berasal dari Romania yang menggelarkan diri mereka Storytellrs.

Nabila berkata, dia dan pihak pengurusan bertemu dengan Storytellrs yang kebetulan sedang mengembara di Malaysia bagi berbincang mengenai video muzik berkenaan.

"Konsep video muzik itu datang daripada mereka sendiri yang berjaya memberi sentuhan antarabangsa. Klip itu disiapkan dalam tempoh tiga minggu," katanya.

Selain Aedy, muzik video itu menampilkan selebriti dan personaliti seperti Yaya Zahir, Syada Amzah dan Adriana Adnan.

Berita Harian X