Ahad, 10 Disember 2017 | 9:48pm
PELAKON, Shah Iskandar.- Foto Rohanis Abdul Shukri
SHAH Iskandar (kiri) bersama sebahagian pelakon yang turut menjayakan Dendam Aurora.- Foto ihsan instagram Shah Iskandar

Shah Iskandar nafi 'tenggelam timbul'

KUALA LUMPUR: Tidak pernah percaya populariti artis merudum selepas berkahwin, aktor kelahiran Singapura, Shah Iskandar, 35, bagaimanapun mengaku kurang mesra dengan peminat.

Dua kali menjulang trofi Pelakon Televisyen (TV) Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2013 dan 2014, Shah akur suasana berubah apabila media sosial mengambil alih kehidupan, apatah lagi buat artis yang sentiasa mendambakan perhatian ramai.

"Dulu mungkin ada yang skeptikal atau takut dengan pandangan apabila artis berkahwin, populariti pasti merudum. Saya percaya itu semua bagai suatu mitos.

"Jika betul sekalipun populariti jatuh, saya tak gentar. Ketepikan soal itu dan serlahkan apa yang boleh kita persembahkan kepada peminat.

"Cuma sekarang, saya semakin sedar, biarpun sudah berkahwin, ia tidak bererti saya tidak boleh lagi menghadiri acara hiburan mahupun fesyen, tak perlu lagi balas komen peminat atau menjadi kurang aktif di laman sosial.


SHAH Iskandar tidak pernah percaya populariti artis merudum selepas berkahwin.- Foto Nurul Shafina Jemenon

"Saya mengaku jarang mengemas kini status pada laman sosial. Saya tahu kesilapan saya yang tidak aktif atas talian.

"Selain itu, saya juga mengaku tidak berapa mesra dengan pengikut kerana selesa menjadi diri sendiri seperti ketika mula-mula jadi artis.

"Percayalah, dulu saya anggap semua itu tidak perlu. Namun, sekarang semua itu perlu saya buat untuk lebih dekat dengan peminat," katanya kepada BH Plus ketika ditemui pada acara Rated Xtra Party anjuran portal Tonton di ibu negara.

Shah atau nama penuhnya, Shah Iskandar Mahfuz berkahwin dengan Siti Sarah Mohd Noor pada 16 Januari 2016.

Shah mengikut jejak teman senegara seperti Aaron Aziz, Datuk Adi Putra dan Hisyam Hamid yang mencuba nasib menjadi pelakon di Malaysia.

Tidak bersetuju dengan pandangan segelintir pihak yang mendakwa populariti dirinya bak 'tenggelam timbul', Shah menjelaskan dia masih aktif berlakon, namun produknya kurang diperkatakan.

"Selepas berkahwin, hendak kata saya 'tenggelam', tidaklah. Mungkin orang tak nampak drama saya lakonkan. Jika diikutkan, tawaran berlakon tidak pernah putus.

"Mungkin juga drama yang saya bintangi tidak sehebat drama sekarang yang menang banyak anugerah," katanya.

Namun, Shah percaya drama Dendam Aurora terbitan Global Station Sdn Bhd yang dibintanginya bersama Nabila Huda, Ungku Ismail dan Anzalna Nasir, melonjakkan kembali namanya di persada seni.

"Watak Haikal dalam drama itu cukup mencabar. Saya perlu nampak penyayang tapi dibenci penonton. Haikal adalah insan prihatin dan selalu mendahulukan keluarga tetapi secara sinis. Ramai orang menganggap watak Haikal antagonis.


SHAH Iskandar mengakui kurang mesra dengan peminat ketika mula-mula menjadi artis. - Foto Aziah Azmee

"Namun, pada penghujung episod, penonton akan tahu kenapa Haikal bersikap negatif kepada semua orang," katanya.

Tak kejar watak utama

Shah menganggap perjalanan karier seninya sepanjang tahun lalu hingga penghujung 2017, cukup stabil.

"Hendak mengaku nama saya 'meletup', tidak beranilah. Saya lebih suka kelaskan sebagai stabil. Alhamdulillah, ini semua mungkin rezeki berkahwin kerana tawaran berlakon tidak pernah putus. Mana tahu, kalau dapat anak pada waktu mendatang, nama saya akan terus melonjak," katanya.

Shah berkata, dia sangat berpuas hati dengan watak dilakonkan dalam semua projek terutama Dendam Aurora.

"Watak Haikal sangat berwarna. Saya harap pada masa depan saya akan mendapat lebih banyak kepercayaan membawakan watak seumpama itu.

"Sebelum Dendam Aurora, saya diberi peranan utama dalam drama Syurga Tak Sempurna bersama Raja Ilya dan Uqasha Senrose yang disiarkan HyppTV. Drama itu mendapat sambutan dan dijangka bakal bersambung, tidak lama lagi," katanya.

Dalam menyusun strategi dunia lakon, Shah bagaimanapun menjelaskan, dia bukanlah hanya mencari watak utama.

"Iya, pastinya kalau dapat jadi hero, saya mahu. Cuma selepas lama berlakon, saya sedar watak antagonis lebih menarik.

"Kita lebih bebas mewarnakan karakter jahat. Mungkin sebab sudah biasa diberi watak sedemikian, jadi saya selesa. Mungkin juga saya tidak berwajah hero atau berbadan sado," katanya yang bakal terbabit dengan drama terbitan Global Station Sdn Bhd dan produksi lain, tahun depan.

INFO

  • Mencipta nama menerusi drama rantaian, Runtun Qalbu dan Gerak Khas.
  • Dua kali dijulang sebagai Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2013 dan 2014.
  • Berkahwin dengan Siti Sarah Mohd Noor pada 16 Januari 2016.
  • Mengakui drama Dendam Aurora membawakan watak Haikal menghangatkan kembali namanya.
Berita Harian X