Ahad, 10 Disember 2017 | 1:12am
NORMAN atau Mohamad Nor Hussin, 55, yang baru sahaja meninggal di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya, malam ini.- Foto Rosli Ilham

Vokalis Panji meninggal dunia

DUNGUN: Vokalis kumpulan Panji, Norman meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya, di sini, malam ini. 

Norman atau nama sebenarnya, Mohd Nor Husin, 55, yang popular dengan lagu Sayap Terluka, menghembuskan nafas terakhir jam 7.45 malam di sisi adiknya, Mohd Shafie, 54, dan anak sulungnya, Haris Haikal, 16.

Mohd Shafie berkata, dia bersama Haris Haikal berada di sisi Allahyarham yang meminta mengurutkan dadanya yang sakit. 

"Saya dan anaknya mengurut dadanya dan tiba-tiba dia muntah darah pekat sebelum tidak sedarkan diri. 

"Saya beberapa kali mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah dan melihat mulutnya bergerak beberapa kali, sebelum badannya tiba-tiba tidak bergerak lagi," katanya. 

Beliau kemudian menghubungi Hospital Dungun dan pegawai perubatan yang tiba mengesahkan Norman sudah meninggal dunia.

"Allahyarham meninggalkan bekas isteri serta empat anak berusia antara 11 hingga 16 tahun. 

"Jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Dungun jam 10 pagi esok," katanya. 

Sementara itu, rakan baik Allahyarham, Mohd Fadli Abdullah, 48, berkata kali terakhir dia membawa arwah menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk menjalani rawatan pada 3 Disember lalu.

"Sudah beberapa kali saya membawa arwah menjalani pemeriksaan dan doktor tidak dapat mengesahkan penyakit dihidapinya.

"Pada 3 Disember lalu, arwah sekali lagi menjalani ujian dan sepatutnya 18 Disember ini perlu menghadiri temu janji di HSNZ untuk keputusan mengenai penyakitnya," katanya. 

Mohd Fadli berkata, beliau sedih apabila gagal menunaikan permintaan arwah yang bersungguh-sungguh hendak ke pusat beli belah di Kemaman. 

"Arwah cakap dia sudah lama duduk terlentang di rumah sejak lapan bulan lalu, namun atas kesibukan saya tidak sempat menunaikan hasratnya itu," katanya. 

331 dibaca
Berita Harian X