Selasa, 5 Disember 2017 | 3:39pm

Memey hamil anak ketiga

KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata ketiga.

Norman yang menyifatkan berita kehamilan isteri suatu kejutan, memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi apabila isterinya disahkan berbadan dua.

"Alhamdulillah, keluarga kami akan lebih lengkap dengan kehadiran cahaya mata keenam. Terima kasih semua untuk ucapan dan doa yang baik-baik.

"Semoga segala kebaikan akan berbalik semula kepada anda," katanya yang mencurah perasaan pada coretan di akaun Instagram.

Norman mengaku menjadi insan terakhir yang mendapat tahu mengenai perkhabaran itu.

"Rupa-rupanya, saya adalah orang terakhir yang tahu. Bekas isteri, Abby dan suami serta anak-anak sudah maklum mengenai berita ini.

"Mereka menghormati keputusan Memey untuk menunggu sehingga Jumaat lalu untuk beritahu saya," katanya.

Norman berkata, dia mula syak apabila mengalami apa yang dikatakan 'pembawakan budak' sejak akhir-akhir ini.

"Tidak tahu bagaimana hendak dijelaskan, tetapi saya seolah-olah dapat rasa 'pembawakan budak' sejak dua minggu lalu. Selalunya, petanda ini tidak pernah bohong.

"Perasaan ini sama ketika Marissa dalam kandungan dulu," katanya.

Norman mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, empat tahun, dan Muhammad Dikhriz Hakim, dua tahun, hasil perkahwinan dengan Memey, 29.

Hasil perkongsian hidup bersama Abby Abadi, aktor itu dianugerahkan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim yang berusia sembilan tahun.

Berita Harian X