Isnin, 4 Disember 2017 | 7:40pm
PEMAINdram XPDC, Lola, pada sidang media konsert gabungan kumpulan itu bersama Amy Search dan Prime Domestic, Public Distortion 2017, yang akan berlangsung pada 9 Disember ini di Oasis Square Damansara. - Foto Supian Ahmad

Konsert Public Distortion 2017 disabotaj?

SUBANG: Pemain dram XPDC, Lola mendakwa ada individu cuba mensabotaj konsert gabungan kumpulan itu dengan Prime Domestic, Public Distortion 2017, di Oasis Damansara, Petaling Jaya, Sabtu ini.

Lola atau nama sebenarnya, Saiful Rizla Kamaruddin, 44, berkata kira-kira lima laporan polis sudah dibuat terhadap individu terbabit yang menggelarkan dirinya sebagai 'ustaz', bulan lalu.

"Perkara ini memang sudah lama berlaku, iaitu sejak XPDC terbahagi kepada dua kumpulan.

"Kita tidak kisah jika hanya mengaitkan kami. Namun, apabila ia sampai memboikot konsert sehingga buat video di YouTube, keadaan itu memaksa kami mengambil tindakan.

"Dia individu yang kita kenali dan seorang peminat tegar XPDC. Mungkin sebab dirinya sudah tiada kerja dan mahukan populariti, sebab itu dia cuba mencetuskan provokasi sehingga sanggup memfitnah serta mengaibkan kami, selain mengaitkan isu agama," katanya.

Bagi menghalang individu itu daripada terus bertindak sedemikian, katanya, pihaknya melantik peguam dan tidak ragu-ragu untuk mengambil tindakan undang-undang jika pihak terbabit berterusan melemparkan fitnah.

Tidak menganggap situasi berkenaan menjejaskan penganjuran persembahan berskala besar itu, Lola yang ditemui pada majlis sidang media konsert terbabit di sini hari ini berkata, jualan tiket adalah menggalakkan dengan hampir 2,000 keping sudah disambar peminat.

"Kita sedang mengumpul maklumat untuk mengheretnya ke mahkamah. Buat masa sekarang, kita biarkan dia berhenti sendiri dan kalau masih berbunyi, kita akan ambil tindakan selanjutnya.

"Alhamdulillah, dari sudut positif, kontroversi itu turut membantu jualan tiket konsert. Peminat sekarang tidak mudah terkesan dengan hasutan sedemikian," katanya.

Konsert Public Distortion 2017, turut menampilkan Amy Search itu dijadualkan berlangsung di Oasis Square, Oasis Damansara, Petaling Jaya.

Berita Harian X