Ahad, 3 Disember 2017 | 10:35am
Bunkface.

Bunkface hangatkan Konsert RTW17

KUALA LUMPUR: Nama popular seperti Bunkface, Seven Collar T-Shirt dan Emmet I adalah antara lebih 10 kumpulan pemuzik tempatan yang akan beraksi pada konsert tahunan, Rock The World Ke-17 (RTW17), pada 9 Disember ini.

Konsert yang bermula jam 12 tengah hari hingga lewat malam itu turut menampilkan band underground seperti Naratu, Masdo dan The Suspects AKA pada acara yang berlangsung di Tempat Letak Kereta B, KL Sports City, Bukit Jalil.

"Selain konsert, pengunjung berpeluang mengikuti acara 'color mosh' yang menjadi tradisi sejak lima tahun lalu, bermula jam 6 petang.

"Festival itu turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai makanan selain kenderaan saji di bawah label tempatan," kata penganjur dalam satu kenyataan media.

Tiket RTW17 berharga RM35 boleh didapati di cawangan Rock Corner di The Gardens, Teenage Head Records Subang Jaya, Rawk of Ages, Kedai Aunty dan Kedai Kombat di Campbell Complex, selain Super Sunday Concept Store di stesen monorel Bukit Bintang.

Tiket juga boleh ditempah secara dalam talian menerusi www.rocktheworld.com.my.

Pada acara sama, Tune Talk sebagai penaja akan membuat promosi istimewa kepada pengguna yang memberi peluang kepada orang ramai untuk membawa pulang cenderahati rasmi RTW17.

Maklumat lanjut, layari laman media sosial rasmi RTW17 di Facebook: rocktheworldfestival, Twitter: RockTheWorldMy, Instagram: rocktheworldmy dan YouTube: Rock The World.

Berita Harian X