Khamis, 30 November 2017 | 1:41pm
FIRDAUS Nadxaman.- Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dari belakang tabir kini penerbit eksekutif

KUALA LUMPUR: Daripada sembang kosong di kedai mamak, pelakon, Firdaus Nadxaman dan pengarah, Osman Ali, akhirnya bekerjasama menghasilkan filem seram romantik, Langsuir.

Menamatkan penggambarannya di Langkawi, Kedah, baru-baru ini, karya berkenaan diterbitkan secara kerjasama oleh Guam TeamWork Sdn Bhd, milik Firdaus bersama rakan kongsi, dan Nuansa Films.

"Saya sendiri tertarik dengan genre seram yang diketengahkan, bersama adunan romantik dan sedikit sentuhan komedi. Lebih daripada itu, Langsuir lebih kepada kisah remaja.

"Ia umpama 'first baby' saya sebagai penerbit eksekutif. Malah, saya juga ditawarkan watak antagonis bernama Zaman dalam filem ini. Membuatkan saya lebih teruja apabila berpeluang berguru dengan pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty, sebelum penggambaran bermula," katanya kepada BH Online.

Menurut Firdaus, 28, projek berkenaan takkan berhasil tanpa keyakinan dan hubungan baik antara dirinya dengan pengarah yang terkenal dengan filem cinta menyentuh emosi itu.

Pemuda kelahiran Kuala Lumpur yang mula membabitkan diri dalam lakonan sejak tiga tahun lalu itu juga sebenarnya sudah beberapa kali membintangi filem arahan Osman, dengan memegang watak kecil.

Antaranya Jiwa Taiko, Sejoli, Langit Cinta, Pinjamkan Hati, Jwanita dan Sinaran.

"Abang Osman antara yang sering mencabar saya untuk menceburi lakonan dan dia jugalah yang membuka peluang untuk saya mengasah bakat di bidang ini.

"Saya sendiri tidak kisah bertatih dari bawah. Saya memang minat berlakon, cuma kadang-kadang aktiviti itu agak terbatas apabila tumpuan juga harus diberikan kepada perniagaan yang dijalankan.

"Selama ini, syarikat saya yang sudah empat tahun ditubuhkan lebih kepada bisnes pembinaan dan hartanah. Cuma, kami serba sedikit ada menyalurkan dana untuk projek telefilem, termasuk Kerna Syurga Bukan Percuma, juga arahan Osman," katanya sambil memaklumkan, dirinya mula terbabit dalam bidang itu sejak sembilan tahun lalu dengan bekerja di belakang tabir.

Sekalipun percaya dan mengenali Osman, Firdaus berkata, ia bukanlah bermaksud dirinya membuat keputusan melabur dengan sewenang-wenangnya kerana beliau juga perlu tahu pulangan yang akan diterimanya.

"Sebelum Abang Osman, ada juga pengarah lain yang datang mencuba nasib untuk meminta syarikat saya melabur dalam projek mereka. Tetapi, saya kurang yakin dengan mereka.

"Abang Osman pula memberikan keyakinan kepada saya dalam banyak perkara, seiring dengan pengalaman yang ada. Ia termasuk keputusan memilih Syafiq Kyle dan Hannah Delisha sebagai sebagai teraju utama dan strategi pemasaran filem berkenaan," kata anak ketiga daripada sembilan beradik ini.

53 dibaca
Berita Harian X